Malaysia Dateline

Pegawai kerajaan perlu berani berkata ‘tidak’

Skop tugasan seorang pegawai tadbir diplomatik (PTD) adalah untuk mengikuti arahan yang diberikan oleh kerajaan pemerintah.

Namun itu tidak bermakna mereka hanya perlu menjadi pengikut tanpa mempersoalkan kewajaran sesuatu arahan atau tugasan.

Itu peringatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mereka yang berada dalam jawatan itu bijak membuat penilaian dan berani untuk mengatakan tidak, sekalipun berdepan risiko dikenakan hukuman.
“Ada masanya, jawapan tidak itu lebih baik. Lebih baik untuk berada di pihak yang benar.

“Kalau diberi arahan supaya mencuri, janganlah buat. Saya fikir ia berbaloi, sekalipun anda akan dihukum.

“Kalau buat juga, satu hari apabila kerajaan bertukar, anda akan berdepan masalah lebih besar,” kata beliau ketika berucap dalam majlis makan malam bersama Persatuan Alumni PTD di sini, malam tadi, lapor Awani.

Turut hadir, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan presiden persatuan itu Tan Sri Sallehuddin Mohamed.

Tambah perdana menteri lagi, jika kerajaan pemerintah memberikan arahan yang menyalahi etika dan peraturan, pegawai PTD perlu memiliki inisiatif untuk memberikan nasihat, atau setidak-tidaknya, tidak mengikuti arahan tersebut.