Malaysia Dateline

Pegawai kesihatan Hospital Sg Buluh tidak dibayar elaun Covid 19 sejak Mac

Susulan pendedahan seorang pegawai perubatan kontrak bahawa mereka tidak dibayar elaun sejak Mac lalu, Hospital Sungai Buloh memaklumkan ketika ini pihak mereka sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Memetik The Sun, Pegawai Komunikasi Hospital Sungai Buloh ketika dihubungi enggan mengesahkan spekulasi berkenaan.

Sebaliknya pegawai berkenaan berkata siasatan sedang dijalankan dan hasil siasatan akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kami masih melakukan siasatan dan akan menyerahkan keputusannya kepada Kementerian Kesihatan, yang sudah maklum tentang apa yang berlaku. Sila kemukakan pertanyaan anda terus kementerian,” kata pegawai itu semalam seperti dipetik The Sun.

Semalam, portal kesihatan CodeBlue melaporkan pendedahan dari seorang pegawai perubatan kontrak yang dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bagi membantu menangani penularan wabak Covid-19.

Pegawai yang tidak mahu didedahkan nama itu mendakwa masih belum menerima beberapa bayaram elaun seperti elaun penempatan.

Dilaporkan, elaun ‘on-call’ dan claim Covid-19 juga tidak dibayar sejak Jun lalu.

Individu itu berkata, mereka mengalami kekangan kewangan ketika ini lebih-lebih lagi apabila pegawai perubatan sekali lagi akan dipindahkan dan membabitkan kos pemindahan yang tinggi dan komitmen wang yang lain.

“Mungkin sesetengah orang akan mengatakan – ‘bersabar, cepat atau lambat anda akan mendapat bayaran’. Tetapi Tuan, kami telah bergerak ke seluruh negara dalam jangka waktu yang sangat singkat sekarang.

“Kami bergerak ke sana sini. Adakah pihak atasan, pentadbiran, unit kewangan atau kerajaan menganggap kami semua adalah orang bujang?

“Kami mempunyai anak dan pasangan. Berpindah tidak mudah. Kami perlu menyewa lori dari Kelantan ke Selangor, kemudian berpindah semula ke Melaka, misalnya. Kami harus membayar yuran sekolah, kos penjagaan anak, sewa dan deposit,” katanya lagi.