Malaysia Dateline

Pegawai MB Perak dikecam perlekeh bantuan untuk mahasiswa

Pegawai kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dikecam selepas mempertikaikan usaha orang ramai membantu mahasiswa terkandas akibat pengumuman saat akhir kerajaan yang menangguhkan pendaftaran pelajar bagi sesi Oktober ini.

Menerusi hantaran Facebook Mohd Herman Haassan yang juga Ketua Penerangan Armada Bersatu Perak, beliau mempersoalkan kewajaran beberapa badan politik yang cuba mengumpulkan dana untuk mahasiswa.

Menurutnya, parti-parti politik cuba untuk menjadi jaguh kepada pelajar dengan mengumpulkan dana secara besar-besaran.

“Yang semua parti politik kelam-kabut nak bantu pelajar tu untuk apa? Ada yang buat ‘crowd funding’ bagai. Tak faham teman aih.

“Bukannya deme tak makan pun. Bukannya lockdown pun.

“Kalau deme dah sampai kampus, pihak Universiti tak suruh deme balik pun. Duduk je diam-diam macam biasa dekat situ,” katanya.

Herman berkata, pelajar masih mempunyai kerajaan untuk bergantung bahkan juga mempunyai Kementerian Pengajian Tinggi.

“Kerajaan pun ada. Kementerian Pengajian Tinggi dan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) ada.

“Masing-masing nak jadi champion student?,” tanya Herman.

Untuk rekod, setakat ini badan Pertubuhan Solidariti yang berkolaborasi dengan Parti Muda di bawah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berjaya mengumpul dana sehingga RM51,000 untuk disalurkan kepada mahasiswa memerlukan.

Justeru itu, orang ramai mula mengecam dan mendakwa bantuan yang disalurkan disebabkan kegagalan kerajaan yang tidak prihatin terhadap masalah siswa yang terkandas

“Antara sebab kami buat #BantuSiswaPerak adalah kerana kegagalan kerajaan negeri untuk prihatin terhadap masalah siswa terkandas.

“Sudahlah Exco Belia senyap, kini pegawai MB Peja pula perlekeh usaha NGO nak bantu siswa,” ciap MySolidaritas.

‘Ini level pemimpin?’

“Aku doa moga pegawai ini diberi dugaan yang sama satu hari. Baru dia tau erti pengorbanan. Ingat kebal ke sampai bila-bila?,” tulis pengguna Jojo.

Aishah Edora pula berkata, pelajar pasti sedih sekiranya baca kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh pegawai terbabit.

Addy pula mempersoalkan sama ada ini taraf yang boleh digelar pemimpin.

“Hebat. Begini rupanya cara layanan dia orang pada rakyat. Bila nak mengundi esok, kau minta khinzir undi korang lah,” kata Hoben Jang.