Pegawai memerintah wanita pertama kapal TLDM satu kebanggaan, kata Wanita PKR

Pegawai memerintah wanita pertama kapal TLDM satu kebanggaan, kata Wanita PKR

Wanita PKR mengucapkan tahniah kepada Leftenan Maritim Aida Arzahari atas pelantikan beliau sebagai Pegawai Memerintah Kapal KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak.

Timbalan ketua Wanita PKR Haniza Talha berkata, pencapaian luar biasa Aida adalah satu inspirasi kepada semua wanita dan pihaknya berbangga dengan kejayaan beliau dan ibunya.

“Aida sebelum ini menjelaskan, ibu beliaulah yang telah memberi sokongan kepadanya untuk menyertai Angkatan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Ini menunjukkan dengan pengaruh seorang ibu, seorang anak perempuan boleh mencapai apa sahaja impian mereka,” kata Haniza dalam satu kenyataan hari ini.

Pelantikan Aida ini, tambah beliau akan mencetus inspirasi kepada semua wanita muda untuk menceburi bidang yang mana selama ini didominasi lelaki.

“Di sini, saya ingin mengingatkan semua wanita bahawa kita boleh melakukan apa jua tugasan setanding lelaki malah lebih baik lagi,” tambah Ahli Dewan Negeri (Adun) Taman Medan itu.

Beliau turut mengulas pelantikan bekas Datuk Bandar Pulau Pinang Datuk Maimunah Mohd Sharif sebagai Pengarah Eksekutif United Nation Habitat (UN-Habitat) yang disifatkan sebagai suatu pengiktirafan.

“Pengiktirafan antarabangsa yang berprestij ini akan membuka mata generasi muda, terutamanya bagi wanita bahawa terlalu banyak peluang yang boleh mereka dapat sekiranya mereka berusaha dan berikan yang terbaik.

“Saya percaya, negara kita Malaysia mempunyai ramai wanita yang berkebolehan dan berharap lebih ramai lagi akan berjaya mencapai impian mereka. Ingatlah, wanita mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)