Pegawai parti pemerintah India hina Nabi: Salahuddin gesa PM buat pendirian tegas

Oleh ARIF ATAN

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa Perdana Menteri (PM) membuat pendirian yang kuat dan tegas berhubung penghinaan pegawai parti pemerintah India terhadap Nabi Muhammad SAW.

Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) itu berkata, PM perlu berbuat demikian dalam menentang perkembangan di India yang mendiskriminasi umat Islam.

Menurutnya, kerajaan India perlu menunjukkan komitmennya terhadap hak-hak Muslim sebagai minoriti di negara yang mempunyai kira-kira 13 peratus umat Islam itu.

“Sekiranya kerajaan India meneruskan siri serangan mereka ke atas masyarakat Islam dan kerajaan kita membuat pendirian yang sangat lemah, ia mungkin menimbulkan tindak balas yang tidak diingini terhadap orang India yang mematuhi undang-undang di Malaysia yang tidak sewajarnya berlaku,” katanya menerusi satu kenyataan.

Naveen Jindal (kiri) dan Nupur Sharma

Terdahulu, dua pegawai parti yang pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW.

Kelmarin, BJP menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen, dan Naveen Jindal atas komennya dalam media sosial.

Mengulas lanjut, Salahuddin berpendapat Malaysia seharusnya menyuarakan mempertahankan maruah Islam dalam isu tersebut apatah lagi kerajaan telah mengisytiharkan negara sebagai kerajaan “Melayu Islam”.

“Insiden terbaru ini bukanlah peristiwa terpencil, kerana sebelum ini telah berlaku banyak siri tindakan provokasi berterusan ke atas umat Islam di India dan lebih-lebih lagi di Kashmir,” tegasnya.

Umat Islam di India menjadi sasaran keganasan di bawah pentadbiran parti nasionalis Hindu, BJP sehingga menyaksikan pertempuran Hindu-Muslim.

Keganasan turut berlaku antaranya ketika perarakan bersempena perayaan Hindu, Hanuman Jayanti, di Jahangirpuri, pinggir bandar New Delhi, April lalu.

Pihak berkuasa tempatan turut merobohkan rumah dan kedai yang disyaki milik perusuh Islam di tengah negeri Madhya Pradesh.

Baca juga Minyak sawit, ugutan India dan pendirian Pas dalam kerajaan

Baca juga Parkir sesuka hati, netizen puas hati kereta dihimpit bas sehingga rosak