Pegawai PMO bergelar Datuk ditahan SPRM disambung reman hingga Ahad

Pegawai PMO bergelar Datuk ditahan SPRM disambung reman hingga Ahad

Mahkamah Majistret hari ini membenarkan tempoh reman seorang pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, disambung dua hari mulai esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan tahanan reman itu dilanjutkan sehingga Ahad selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan.

Lelaki berusia 44 tahun bergelar ‘Datuk’ itu sebelum ini direman empat hari sejak Selasa sehingga hari ini.

 

Video di Twitter Malaysia Gazette memaparkan dia dengan pakaian lokap SPRM dibawa ke mahkamah.

Sebelum ini, media melaporkan seorang bekas pegawai perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, direman empat hari sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan kes dakwaan penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan mengenai penahanan individu berusia 44 tahun itu.

Menurut Simi, individu itu ditahan pada Isnin lalu selepas dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan.

Sebelum ini, laporan media menyebut bekas pemimpin tertinggi negara menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan kementerian pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

SPRM sebelum ini sudah menahan tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek berkenaan.