Pegawai polis Filipina culik pelancong termasuk warga Malaysia, minta tebusan RM200,000

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang warga Malaysia berdepan dengan detik cemas ketika melancong di bandar Pasay, Filipina apabila kereta dinaikinya ditahan oleh penunggang motosikal tidak dikenali.

Warga Malaysia terbabit bersama tiga rakannya kemudian didekati oleh sekumpulan individu bersenjata yang menggari dan mengheret mereka masuk ke dalam sebuah van putih.

Rupa-rupanya, mereka telah menjadi mangsa di dalam satu insiden penculikan yang turut dianggotai oleh empat anggota polis Filipina termasuklah pegawai berpangkat Mejar.

Memetik laporan Inquirer, kejadian mencemaskan itu berlaku sekitar pukul 12.20 tengah malam Ahad, 2 Jun lalu ketika empat pelancong terbabit berada di dalam kenderaan jenis Lexus.

Empat pelancong yang diculik di Taft Avenue, Pasay itu dikenal pasti sebagai Tang Heng Fei iaitu rakyat Malaysia berumur 25 tahun, dan tiga warga China, Meng Zhao, 29, Yang Zhuan Zhuan, 30 dan Shi Yi Xuan berusia 32 tahun.

Daripada empat mangsa, Tang Heng Fei dan Shi Yi Xuan melawan sebelum berjaya melarikan diri dan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa berhampiran.

Mangsa yang berjaya melarikan diri kemudian membayar wang tebusan sebanyak PHP2.5 juta atau kira-kira sekitar RM200,000 yang diminta oleh pihak penculik untuk menyelamatkan rakan-rakan mereka.

Dua mangsa warga China yang dibebaskan pada Isnin, 3 Jun sekitar pukul 6 pagi itu telah dipukul oleh penculik sepanjang malam sehinggalah wang tebusan tersebut diterima.

Ketua Ibu Pejabat Polis wilayah bandar Filipina iaitu Mejar Jeneral Melencio Nartatez kemudian melancarkan operasi mencari yang membawa kepada penahanan empat suspek selepas menerima maklumat mengenai penculikan tersebut.

Empat pegawai polis yang ditahan pada 3 Jun iaitu Mejar Christel Villanueva, Staf Sarjan Ralph Tumanguil, Sarjan Mejar Ricky Tabora, dan Sarjan Mejar Kanan Angelito David kemudian didakwa atas tuduhan menculik untuk tebusan, merompak dan mencuri kenderaan.

Walau bagaimanapun, seramai 10 suspek awam bersama dua orang lagi yang dipercayai dalang di dalam kes penculikan mengejutkan ini masih bebas dan belum berjaya ditangkap.

Baca juga: Tinjauan dedah 7 negara paling dibenci ramai tahun 2024, selain Israel ada satu negara Islam tersenarai