KBS akui pegawainya didakwa rasuah, tubuh pasukan siasatan bebas

KBS akui pegawainya didakwa rasuah, tubuh pasukan siasatan bebas

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini mengesahkan individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyalahgunaan dana RM100 juta adalah pegawai dibawah kementeriannya.

Justeru beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk menubuhkan sebuah pasukan siasatan khas bebas untuk mengenal pasti kelompongan dan menambah baik proses dan prosedur kewangan dalaman Kementerian Belia dan Sukan.

Katanya, SPRM telah memaklumkan kepadanya beberapa mingu lepas bahawa satu siasatan sedang dijalankan ke atas pegawai tersebut.

“Objektif utama pasukan ini untuk memperbaiki kelemahan proses dalaman yang boleh menjurus kepada penyelewengan dana awam,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ujar beliau lagi KBS menjatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan SPRM.

“Saya telah menyatakan kesediaan Kementerian Belia dan Sukan dan agensi-agensi dibawahnya untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM supaya siasatan ini dapat dijalankan dengan pantas dan menyeluruh.

“Saya akan terus menyokong usaha SPRM dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

Pada 17 Mac lalu SPRM menahan seorang pegawai dari KBS selepas disyaki terlibat dalam sindiket menyeleweng dana kerajaan berjumlah lebih RM100 juta.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, lapan lagi suspek ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya merupakan kontraktor.

 

TAGS