Malaysia Dateline

Pegawai Syed Saddiq dakwa diherdik, dipanggil ‘babi’ oleh SPRM

Pegawai kepada Ahli Parlimen Muar, Siti Nurul Hidayah didakwa telah dikasari dan diherdik oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dipanggil sebagai saksi.

Beliau berkata, pegawai SPRM bertindak ke atasnya seperti beliau adalah suspek sedangkan beliau dipanggil sebagai saksi bagi kes kehilangan sejumlah wang RM250,000 milik Syed Saddiq.

Nurul Hidayah turut memberitahu pegawai SPRM juga menjerit kepadanyanya dengan memanggilnya ‘babi’ dan bodoh.

“Salah seorang daripada mereka mengancam akan menampar saya, tangannya mendekati wajah saya,” katanya dalam sidang media semalam.

Pada sidang media itu Hidayah turut membacakan laporan polis yang dibuatnya di Putrajaya berhubung kejadian yang berlaku ketika siasatan oleh SPRM.

Hidayah juga berkata, pegawai SPRM telah menendang kerusi yang didudukinya kemudian memaksa beliau berdiri sebelah kaki dengan kedua tangannya diangkat selama 30 minit.

Beliau juga telah dihalang oleh pegawai SPRM untuk berjumpa dengan peguamnnya yang berada di luar bilik siasatan.

Beliau percaya tindakan pegawai SPRM memperlakukan beliau sedemikian bertujuan untuk menakut-nakutnya.

Hari ini dalam satu kenyataan, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Norazlan Mohd Razali menafikan dakwaan memaki, mengherdik, menghina dan melayan dengan teruk seorang pegawai bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

SPRM menolak sekeras-kerasnya kenyataan dikeluarkan oleh wanita yang dikenali sebagai Siti Nurul Hidayah itu dalam satu rakaman video sidang media yang disiarkan di laman Facebook.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap aduan berhubung kehilangan wang tunai kira-kira RM250,000 milik Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Muar itu membuat laporan polis pada 29 Mac lalu dengan berkata wang itu disimpan dalam peti besi di rumahnya.