Peguam Amanah bertugas di semua Dun bertanding

Peguam Amanah bertugas di semua Dun bertanding

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Biro undang-undang (Kanun) Amanah akan menempatkan peguam dari parti itu di semua 13 kerusi yang ditandingi Amanah dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Timbalan pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, peguam-peguam ini akan memantau aspek perundangan dalam perjalanan PRN bermula daripada hari penamaan calon pada 25 April ini, sepanjang tempoh berkempen dan hari membuang undi pada 7 Mei depan.

“Bagi memperkuatkan lagi persiapan Amanah dalam menghadapi PRN Sarawak kali ini, Kanun telah menyediakan barisan peguam Amanah untuk memantau aspek perundangan dalam perjalanan PRN.

“Bagi melicinkan lagi proses pemantauan tersebut, Kanun mewujudkan bilik gerakan Kanun dan juga akan menempatkan seluruh peguam Amanah di kesemua 13 kerusi Dun yang ditandingi oleh Amanah,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Kesemua 13 kerusi yang ditandingi Amanah ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Gedong, Beting maro, Kabong, Kuala Rejang, Semop, Daro, Jemoreng dan Balingian.

Wan Anwar turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam proses PRN ini agar mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya yang ditetapkan supaya PRN kali ini dapat dijalankan dengan bersih dan adil.

“Kanun melihat PRN Sarawak kali ke-11 ini sebagai pilihan raya yang penting kerana pertama kali disertai oleh Amanah sejak dilancarkan pada 16 September 2015,” katanya yang juga naib ketua Pemuda Amanah Nasional.

Sementara itu, Kanun turut menuntut kerajaan negeri Sarawak menyemak dan mengkaji semula arahan menyekat kemasukan pemimpin-pemimpin pembangkang ke negeri itu supaya perjalanan PRN kali ini dilihat lebih demokratik.

Ketika ini, timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub mengambil alih segala tugas presiden Mohamad Sabu berkaitan PRN Sarawak selepas Mohamad tidak dibenarkan memasuki Sarawak sejak 22 Mac lalu.

Terbaru, ahli parlimen Taiping Nga Kor Ming yang juga pengerusi DAP Perak dihalang masuk ke Sarawak dan ditahan di lapangan terbang Sibu tengah hari semalam.

Sebelum itu pada Jumaat, ahli parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga naib presiden PKR ditahan di pejabat imigresen lapangan terbang Kuching selama tiga jam sebelum diterbangkan semula ke Kuala Lumpur.

Minggu lalu, ahli parlimen Shah Alam yang juga pengarah komunikasi Amanah juga berdepan tindakan sama.

TAGS