
Biro Undang-Undang (Kanun) Parti Amanah Negara menyokong pandangan Sultan Johor bahawa sifat ekstremis dan ‘taliban’ tidak mempunyai tempat di Malaysia dan gejala seperti ini harus dibendung sebelum ianya berkembang biak.
Sehubungan itu, Kanun menyarankan agar para ulama dapat menyebar luas fahaman dan amalan Fiqh Al-Muwatonah (Fikah Kewarganegaraan) dan Fiqh Al-Waqi’ (Fikah yang berubah dan berbeza mengikut realiti setempat) yang kedua-duanya sangat relevan bagi masyarakat majmuk di Malaysia.
Ahli jawatankuasa pengguna, pekerja & alam sekitar Kanun, Mazwan Johar berkata penggunaan dua konsep fikah itu adalah berdasarkan kaedah syarak dengan mengambil kira maslahah (kebajikan dan kebaikan) dan Maqasid al-Syariah (objektif syariah) untuk mewujudkan keharmonian di Malaysia.
“Kanun menyanjung tinggi titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan sebuah kedai dobi di Muar yang mengehadkan pelanggannya di kalangan orang Islam sahaja kerana dikhuatiri kain basuhan bercampur dengan najis mughallazah (najis berat iaitu anjing dan khinzir),” ujar beliau.
Sultan Johor dilapor menyifatkan tindakan pengusaha dobi itu sebagai ‘karut’ dan bertentangan dengan realiti negeri Johor yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.
Sultan Ibrahim juga mengingatkan Johor adalah negeri yang progresif, moden dan sederhana dan bukan sebuah ‘negara Taliban’.
Sebagai ketua Islam di Johor, baginda menyifatkan tindakan pengusaha dobi itu sebagai tidak boleh diterima kerana ianya bersifat ekstremis.
Mengulas lanjut, Mazwan berkata semua warganegara Malaysia perlu belajar hidup dalam kepelbagaian (diversity) dan saling menyokong antara pelbagai kaum dan agama sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum, ayat 22 yang menyebut bahawa perbezaan bahasa dan warna kulit di kalangan manusia sebagai bukti kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT.
Menurutnya, walaupun Kanun tidak membelakangkan pendapat sesetengah ulama yang berpegang dengan pendapat yang ketat berkaitan hukum najis mughallazah, namun wujud pendapat ulama yang lebih sesuai dengan realiti masyarakat majmuk di negara ini.
Oleh itu, pihaknya menaruh harapan tinggi kepada Sultan dan Raja Melayu sebagai ketua agama Islam negeri-negeri supaya menitahkan Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk menganjurkan seminar dan dialog antara kaum dan agama berteraskan Fiqh Muwatonah dan Fiqh Al-Waqi’.
“Kanun juga menyokong pandangan DYMM Sultan Johor bahawa pandangan yang bersifat ekstremis dan ‘taliban’ tidak mempunyai tempat di Malaysia dan gejala seperti ini harus dibendung sebelum ianya berkembang biak menjadi besar.
“Kanun menyatakan pandangan DYMM Sultan Johor itu selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Ruum. Inilah juga yang menjadi asas perjuangan dan kewujudan Parti Amanah Negara iaitu bagi mewujudkan masyarakat yang Amanah, Progresif dan Peduli,” ujar Mazwan.