Malaysia Dateline

Peguam AMANAH tawar khidmat guaman percuma untuk ulama Pas

Susulan tersebarnya beberapa rakaman video membabitkan dakwaan skandal mengaitkan seorang Ulama Pas, peguam kanun AMANAH mengatakan bersedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada Ulama tersebut.

Noorazmir Zakaria dalam hantaran Facebooknya hari ini berkata, sekiranya benar Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu difitnah, beliau perlu segera mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan video berkenaan.

Namun katanya, untuk memfailkan tuntutan fitnah terhadap mana-mana pihak, ada beberapa elemen yang perlu dibuktikan di mahkamah termasuklah membuktikan video tersebut adalah fitnah.

“Fitnah ini menurut undang-undang, perkara tersebut adalah tidak benar. Apa yang disebarkan itu bertujuan untuk menjatuhkan maruah dan reputasi individu tersebut.

“Dalam hal ini, hanya individu yang menyebarkan video berkenaan dan mangsa sahaja yang tahu sama ada ianya adalah fitnah atau pun tidak.

“Jadi kepada ustaz dan ulama tersebut, saya sarankan, jika ia adalah fitnah maka beliau harus mengambil tindakan undang-undang secepat mungkin bagi membersihkan nama beliau,” katanya.

Sejak semalam, tular di Facebook yang memaparkan beberapa rakaman video didakwa perbualan antara bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Mokhtar Senik dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Leena.

Dalam perbualan itu, mereka dikatakan sedang merancang untuk berjumpa di satu lokasi yang tidak diberitahu.

Video tersebut turut mendedahkan nombor telefon WhatsApp Mokhtar yang digunakan ketika ini.

Dalam rakaman lain pula, menyaksikan sebuah kereta Toyata Vellfire hitam yang didakwa milik Mokhtar, telah diserbu oleh beberapa individu di tepi jalan.

Walaubagaimanapun, Mokhtar dalam hantaran Facebooknya semalam berkata, beliau akan mengenakan tindakan mahkamah yang dipercayai merujuk kepada rakaman tersebar ketika ini.

Sementara itu, Noorazmir menyarakan agar Mokhtar segera megambil tindakan undang-undang demi mempertahankan institusi ulama negara.

“Saya nyatakan bahawa saya sedia untuk wakili beliau demi mempertahankan institusi ulama kita dan untuk menjernihkan nama ustaz tersebut.

“Saya bersedia ambil kes tersebut dengan percuma secara probono dan tidak mengenakan sebarang caj kepada beliau,” ujarnya.