Malaysia Dateline

Peguam Azilah percaya SD didraf pihak lain

Peguam Bekas Anggota Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia, Azilah Hadri, Datuk Hazman Ahmad percaya surat akuan bersumpah yang didakwa dibuat oleh anak guamnya telah didrafkan oleh individu tertentu bagi pihak Azilah, bukan dari pihak beliau.

Memetik laporan The Malaya Post difahamkan bahawa permohonan semakan semula terhadap penghakiman Mahkamah Persekutuan telah difailkan pada Oktober lalu.

Namun beliau sendiri tidak mengetahui peguam mana yang telah dilantik Azilah memfailkan permohonan semakan terbabit.

“Saya difahamkan permohonan semakan semula terhadap penghakiman Mahkamah Persekutuan telah dibuat tetapi saya pun tak tahu siapa peguam yang failkan.

“Memang berat tuduhan ni. Somebody drafted for him” kata beliau secara eksklusif kepada The Malaya Post pada Isnin.

Jelas Datuk Hazman, tuduhan seperti mana dinyatakan dalam pengakuan Azilah terbabit disifatnya satu tuduhan berat terhadap bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak.

Pun begitu katanya berdasarkan situasi atau perkembangan politik terkini, semua sahaja boleh dibuat untuk menjatuhkan seseorang.

“Melihat situasi perkembangan politik kini, semua boleh buat untuk jatuhkan seseorang. Saya sendiri pun terkejut tadi bila dapat tahu”, katanya.

Untuk rekod, Datuk Hazman Ahmad adalah Peguambela Cif Inspektor Azilah semasa beliau di dakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan masih bertindak sebagai peguam Azilah dalam permohonan untuk mendapatkan pengampunan dari Sultan Selangor.

Semalam negara dikejutkan dengan penyebaran SD yang ditandatangani oleh Azilah Hadri.

Antara intipati SD berkenaan Azilah mendakwa Dato’ Seri Najib telah mengarahkannya untuk menjalankan operasi sulit untuk tangkap dan hapuskan Altantuya Shaariibuu dengan “shoot to kill” dan musnahkan mayatnya.