Peguam Datuk Seri Najib Razak iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa anak guamnya tidak terlihat seperti biasa.
Katanya, Najib masih lagi menerima rawatan tetapi keadaannya tidak ceria seperti sebelum ini.
“Beliau tidak kelihatan seperti biasa, tidak seceria seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding kes membabitkan tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.
Muhammad Shafee juga memberitahu, setakat hari ini tiada sebarang petunjuk Najib akan dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
Sementara itu, ketika memberikan status terkini Najib kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan penyelewengan dana 1MDB, Muhammad Shaffee memaklumkan anak guamnya kini masih lagi menerima rawatan dan menjalani beberapa ujian kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Muhammad Shafee turut memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tekanan darah Najib sudah turun tetapi belum berada pada tahap memuaskan, walaupun selepas diberikan ubat bagi penyakit darah tinggi yang asal.
Najib sebelum ini dilaporkan mengalami masalah tekanan darah tidak menentu dan sedang mendapatkan rawatan di HKL.
Menurut Muhammad Shafee, Najib diberikan sijil cuti sakit selama dua hari sehingga esok.
Katanya, beliau dapat menemui anak guamnya hari ini yang ditempatkan di Wad 21 HKL dan mereka berbincang mengenai masalah kesihatan bekas perdana menteri itu, mengenai perjalanan kes dan langkah seterusnya yang akan diambil.
Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan bersambung pada 26 September ini.
Baca juga: Kemunculan pertama Sultanah Kelantan tarik perhatian
Baca juga: Pecah tembelang! Peminta sedekah main judi, siap sorok telefon belakang tabung derma