Malaysia Dateline

Isa Samad SPAD

Peguam dakwa pelantikan Isa bercanggah akta SPAD

Pelantikan bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) Tan Sri Isa Samad sebagai Pemangku Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) secara serta merta didakwa melanggar Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 714).

Zulhazmi Shariff

Ahli Jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah, Zulhazmi Shariff (gambar kanan) berkata, pelantikan ke jawatan berkenaan hanya boleh dilakukan sekiranya Isa merupakan anggota SPAD.

Beliau menjelaskan, mengikut Akta 714, menteri berkenaan perlulah melantik seorang Pengerusi, seorang Ketua Pegawai Eksekutif, tidak lebih lima wakil Kerajaan dan tidak kurang daripada tiga orang.

Menteri juga katanya boleh melantik tidak lebih daripada lima anggota lain yang pada pandangannya mempunyai pengetahuan dan pengalaman serta menunjukkan keupayaan dan profesionalisme dalam perkara yang berhubungan dengan pengangkutan awam darat untuk menganggotai SPAD.

“Najib mengumumkan pelantikan Isa Samad sebagai Pemangku Pengerusi SPAD berkuatkuasa serta merta sepertimana peletakan jawatan serta merta Isa sebagai Pengerusi FGVH.

“Bagaimana Isa boleh dilantik sebagai Pemangku Pengerusi SPAD dengan berkuatkuasa serta merta?

“Adakah Kerajaan Malaysia pimpinan Najib Tun Razak sudah ditadbir secara membuta tuli tanpa mengikut undang-undang dan peraturan?” soalnya dalam kenyataan.

Isnin lalu, Isa dengan ‘rela hati’ melepaskan jawatan sebagai pengerusi SPAD dan digantikan dengan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai ‘menghargai jasa Isa, beliau dlantik sebagai pemangku pengerusi SPAD.