Peguam kecewa pihak berkuasa tidak bertindak ekoran kecurian wang 1MDB

Peguam kecewa pihak berkuasa tidak bertindak ekoran kecurian wang 1MDB

Walaupun Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan saman sivil pada 20 Julai lalu terhadap pihak yang melarikan wang negara, pihak berwajib di negara ini dilihat tidak menyiasat mereka yang dinamakan sebagai defendan.

Peguam Datuk Zainur Zakaria berkata, beliau kecewa kerana pihak Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Bank Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita kecewa mereka sepatutnya bertindak untuk dapatkan semula wang milik rakyat Malaysia.

“Pihak berkuasa di negara ini tidak mahu bertindak walaupun jelas ada perlakuan jenayah sehingga difailkan di AS,” ujarnya yang merupakan peguam Datuk Husam Musa dan Matthias Chang di Malaysia.

Mengulas lanjut tindakan undang-undang oleh DoJ itu, bekas presiden Majlis Peguam Malaysia itu berkata, kerajaan AS bertindak mahu merampas segala aset yang diambil “perompak-perompak” terbabit.

Menyebut secara jelas nama Riza Shahriz Abdul Aziz dan Jho Low sebagai ‘perompak’ yang dimaksudkan, beliau turut menyelar pendirian sebahagian pemimpin Melayu Islam.

“Memalukan. Mereka lupa pemberi rezeki itu ialah Allah bukannya manusia apalagi di tangan perompak.

“Apa jenis manusia ini? Kalau diam, kita yang tanggung kesan 1MDB bukan mereka yang sebenarnya lanun,” bidasnya.

Tambah Zainur lagi, pemfailan tuntutan (class action) oleh pihak mereka adalah bagi menuntut ganti rugi daripada “perompak” terbabit berbeza dengan tindakan DoJ.