Peguam minta penjelasan dua menteri sebab lewat beri rawatan selepas Anwar kemalangan

Peguam minta penjelasan dua menteri sebab  lewat beri rawatan selepas Anwar kemalangan

Tiga peguam dilantik Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kesihatan Datuk S Subramaniam untuk menjelaskan mengenai kelewatan memberikan rawatan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengalami kemalangan pada 22 September lalu.

Dalam kenyataan bersama oleh Peguam Sivarasa Rasia, N Surendran dan Latheefa Koya itu berkata, kemalangan yang berlaku itu telah memburukkan lagi kecederaan-kecederaan yang dialami Anwar.

“Kecederaan-kecederaan yang dialamai Datuk Seri Anwar di bahu kanan, leher, dan bahagian pinggang beliau, yang menyebabkan beliau berada di dalam kesakitan sejak kemalangan tersebut.

“Di penjara, beliau cuma diberi suntikan dan ubat penahan sakit.

“Datuk Dr Jeyaindran, doktor yang ditugas Menteri Kesihatan untuk mengawasi keperluan perubatan anak guam kami telah gagal memberi arahan supaya anak guam kami diberi rawatan perubatan yang sepatutnya di HKL,” ujarnya kenyataan itu.

Dakwanya lagi selepas 3 hari setelah Anwar mengalami kesakitan yang teruk dan ketidakselesaan, barulah beliau dibawa ke HKL.

“Kami amat terkejut dengan kelewatan yang tidak patut dan tanpa penjelasan, yang mungkin telah menyebabkan kesihatan anak guam kami bertambah teruk.

“Rawatan perubatan yang berpatutan adalah hak setiap banduan. Kami telah menulis kepada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan untuk mendapatkan penjelasan di atas kegagalan yang tidak boleh dimaafkan ini.”

Dalam kejadian pada 22 September lalu, kenderaan Jabatan Penjara dan kenderaan yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke Penjara Sungai Buloh telah terlibat di dalam satu kemalangan jalanraya berhampiran Penjara Sungai Buloh.