Peguam Negara akan pinda  seksyen pertuduhan ke atas 442 tahanan Sosma, kata Hanipa

Peguam Negara akan pinda seksyen pertuduhan ke atas 442 tahanan Sosma, kata Hanipa

Mohamed Hanipa Maidin

Seramai 442 tahanan akan dipertimbangkan oleh Jabatan Peguam Negara untuk meminda seksyen pertuduhan ke atas banduan yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamataan (Langkah-langkah Khas 2012) (Sosma).

Timbalan Menteri (Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata, hasil daripada rundingan dengan tahanan  ketika mogok lapar di Penjara Sungai Buloh pada 26 Ogos lalu, Peguam Negara menetapkan prosedur untuk kesalahan yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 3 Sosma.

“Bagaimanapun, proses ini akan mengambil sedikit masa dan harus berdasarkan kes demi kes. Kod Prosedur Jenayah (dan bukan Sosma) akan mengawal aspek prosedural jika tuduhan tersebut dipinda.

“Pendakwa Raya akan memberi keutamaan kepada pesalah wanita dan juvana. Begitu juga, tahanan yang sakit atau lemah.

“Apabila tuduhan yang telah dipinda dibuat, tertuduh sama ada boleh mengaku bersalah atau menuntut perbicaraan.

“Sekiranya pesalah-pesalah ini menuntut perbicaraan ke atas tuduhan yang dipinda itu, jaminan boleh digunakan oleh mereka, dan mengikut budi bicara mahkamah sama ada atau tidak dibebaskan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan, bagi tuduhan jenayah terhadap 22 orang tahanan untuk pelbagai kesalahan di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan yang melibatkan kegiatan penganas akan dimuktamadkan oleh kabinet.

“Saya berpendapat bahawa kes-kes yang paling baik untuk ditangani oleh AG mengikut budi bicaranya menurut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan sehingga Kabinet membuat keputusan muktamad mengenai Sosma,” ujarnya.

Jelas Mohamed Hanipa lagi, menurut peguam negara, Sosma adalah prosedur untuk kesalahan yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 3, iaitu, Bab VI Kanun Keseksaan- Kesalahan Terhadap Negeri;Bab VIA Kanun Keseksaan – Kesalahan yang berkaitan dengan Keganasan;Bab VI B Kanun Keseksaan -Jenayah Terancang; Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 Kesalahan-kesalahan di bawah Bahagian IIIA; dan Akta Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan Luar Negara 2015.

Pada 27 Ogos 2018, 22 orang ditahan reman di bawah Seksyen 13 Sosma kerana melakukan kesalahan keganasan di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan.

Pada tarikh yang sama, terdapat 442 tahanan ditahan di bawah Seksyen 13 Sosma kerana menjadi anggota pelbagai kumpulan jenayah yang terancang, serta mengikuti atau membantu kumpulan tersebut. Ini adalah kesalahan di bawah Bab VIB Kanun Keseksaan.

“Untuk 442 tahanan, AG, dalam kapasitinya sebagai Pendakwa Raya, menimbangkan sama ada jabatannya boleh meminda tuduhan terhadap mereka “inter alia” di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 – menjadi anggota masyarakat yang menyalahi undang-undang; dan Bab VIII Kanun Keseksaan: Seksyen 141 hingga 158 – kesalahan terhadap ketenteraman awam,” ujarnya.

Mogok lapar banduan Sosma pada 24 Ogos lalu, dilakukan sebagai menggesa Kerajaan dan Peguam Negara melihat semula akta berkenaan.

Misi memujuk 118 tahanan Sosma di penjara Sungai Buloh berjaya apabila mereka berhenti mogok apabila Mohamed Hanipa mengambil masa selama dua jam berbincang dengan wakil mereka selepas dua hari mogok lapar diadakan.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS