Malaysia Dateline

Peguam Negara derhaka, pertikai titah Agong, kata PH

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kenyataan Peguam Negara bagi pihak kerajaan berhubung isu undi percaya adalah amat biadab.

PH juga berpendapat kenyataan Tan Sri Idrus Harun semalam juga melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, malah melanggar titah dan juga derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Ini juga merupakan kali kedua Peguam Negara telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, yang sesungguhnya amat mengecewakan dan beliau tidak layak memegang jawatan Peguam Negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, menurut kenyataan bersama tersebut, Peguam Negara didesak meletak jawatan kerana bukan sahaja telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, tetapi juga telah mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

Semalam, Peguam Negara berkata, undi percaya tidak perlu dilakukan di Parlimen apabila Dewan Rakyat mula bersidang pada 13 September ini.

Hal tersebut memandangkan, kata Idrus, Yang di-Pertuan Agong telah melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berhujah, undi percaya Perdana enteri boleh menjejaskan kuasa Agong.

“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain,” kata Idrus.

Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH menegaskan kenyataan Peguam Negara itu bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti semasa sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.

“Seperti yang terakam di dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021, Seri Paduka Baginda telah bertitah bahawa “Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

“Titah Seri Paduka Baginda ini turut ditekankan KDYMM Seri Paduka Baginda Timbalan Yang di-Pertuan Agong, dan keperluan undi percaya ini telah dipersetujui semua ketua parti.

“Penting diingatkan bahawa Peguam Negara telah hadir, menjadi saksi malah telah mendengar sendiri titah Seri Paduka Baginda sewaktu sesi menghadap ini.

“Di manakah logik dan kewarasan Peguam Negara apabila berkata kuasa Seri Paduka Baginda melantik Perdana Menteri boleh ditidakkan dengan satu usul undi percaya di Parlimen apabila pembentangan usul undi percaya itu dititah sendiri oleh Seri Paduka Baginda?” bidas PH.

Menurut kenyataan bersama pemimpin PKR, AMANAH dan DAP itu lagi, tindakan seseorang Perdana Menteri yang dilantik Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan Perdana Menteri terdahulu seterusnya mengemukakan usul undi percaya di Parlimen bagi mengabsahkan sokongan majoriti adalah tindakan yang punyai duluan (precedent) di Parlimen Malaysia.

“Undi percaya pernah berlaku pada 27 Januari 1976, 12 hari selepas Dato’ Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak, dan 3 November 2003, 3 hari selepas Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad,” jelas PH lagi.