Peguam Negara digesa tarik balik wakili guru dalam kes peribadi

Oleh NASUHA RAHMAN

Peguam Negara Tan Sri Idris Harun digesa menarik balik untuk mewakili guru dan bekas guru besar dalam kes peribadi melibatkan Ain Husniza yang merupakan perbicaraan undang-undang persendirian.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata, Peguam Negara hendaklah berpegang kepada mempertahankan entiti kerajaan sahaja.

“Saya terkejut membaca bahawa Peguam Kanan Persekutuan membela guru lelaki yang membuat jenaka rogol di dalam kelas dan bekas guru besar sekolah selaku defendan dalam tuntutan balas yang difailkan oleh pelajar Ain Husniza.

“Bagaimanakah Peguam Kanan Persekutuan boleh bertindak untuk membela mereka sedangkan guru dan bekas guru besar tersebut telah disaman dalam kapasiti peribadi mereka?

“Lebih-lebih lagi, Ain Husniza yang mula-mula disaman kerana dikatakan memfitnah guru yang membuat jenaka rogol di dalam kelas. Ain terpaksa membela diri dan terpaksa membuat tuntutan balas terhadap guru tersebut,” kata beliau.

Peguam Negara digesa tarik balik wakili guru dalam kes peribadi
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok

Teresa berkata, semua yang Ain lakukan, sebagai seorang kanak-kanak perempuan, adalah secara sah menyatakan rasa tidak senang terhadap guru lelaki dewasanya yang memandang remeh isu jenaka rogol dan membiarkannya begitu sahaja.

Katanya, Ain tidak memulakan sebarang tindakan undang-undang, walaupun itu adalah dalam haknya tetapi dia dan bapanya telah disaman oleh guru.

Jelas sekali, katanya, ini adalah saman persendirian antara guru dan bekas pelajar mereka.

“Bagaimana seorang peguam kerajaan boleh bertindak untuk pihak persendirian, penjawat awam dan pesara awam?

“Peguam Kanan Persekutuan harus mengehadkan perwakilannya untuk entiti kerajaan sahaja.

“Bukankah ini menjadi contoh buruk bagi Peguam Persekutuan untuk bagi penjawat awam dan juga pesara awam dalam saman persendirian mereka?” soalnya.

Teresa sekali lagi mempersoal adakah wajar seorang peguam Kerajaan memihak dan membela seorang guru lelaki dewasa yang membuat jenaka rogol kepada pelajar lelaki dan perempuan di dalam kelas?

“Adakah ini tidak sama dengan menyokong salah laku guru lelaki tersebut di sekolah. Ini menghantar mesej yang salah kepada guru dan pendidik,” tambahnya.