Peguam Negara diminta teruskan pendakwaan kes ‘Datuk Seri’ menipu pelaburan RM196,000 di Sabah

Abdul Karim Ahmad menunjukkan laporan polis dan salinan cek RM196,000 yang diberikan kepada syarikat milik seorang bergelar  ‘Datuk Seri’ dari Sabah.

Peguam Negara diminta untuk ambil perhatian terhadap dakwaan pembabitan Jabatan Peguam Negara Negeri Sabah melengah-lengahkan  dakwaan dalam kes membabitkan penipuan pelaburan RM196,000 kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang bergelar ‘Datuk Seri’ sejak tiga tahun lalu.

Pengadu seorang ahli perniagaan Abdul Karim Ahmad dan 20 orang lagi yang melabur ke syarikat berkenaan gagal menuntut wang pelaburan agar dikembalikan kerana  dakwanya, pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Kepayan Kota Kinabalu melengahkan siasatan sehingga mengambil masa dua tahun.

Justeru beliau telah  menghantar surat kepada Ketua Jabatan Siasatan jenayah Komersil Kontinjen Sabah untuk mendapatkan status kes tersebut dan dalam tempoh tiga bulan dakwanya, dimaklumkan pendakwaan pertuduhan boleh di bawa ke Mahkamah.

“Sebaliknya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Kota Kinabalu pula menyatakan pihak Jabatan Peguam Negara Negeri gagal untuk membuat pertuduhan walaupun ada bukti yang kukuh daripada institusi bank dan kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa kes penipuan telah berlaku.

“Peguam Negara Negeri Sabah pula membenarkan kami sendiri yang menuntut kembali wang pelaburan yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat milik Datuk Seri berjumlah RM196,000 itu,” ujarnya dalam sidang media diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun pihaknya gagal menuntut kembali wang pelaburan itu sebaliknya,  dakwa Abdul Karim  lagi pihak polis pula cuba menghalangnya terus datang ke syarikat berkenaan.

“Kami telah beberapa kali datang ke syarikat tersebut untuk berunding dapatkan wang itu kembali, malangnya kami pula dihalang oleh pihak polis dari IPD Karamunsing, Kota Kinabalu. Polis juga memberi amaran agar kami tidak datang ke kilang itu lagi dan polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan dan mendakwa kami di mahkamah  jika terus datang ke syarikat itu,” ujarya.

Beliau juga berkata telah menghantar surat kepada Pengarah Peguam Negara Negeri Sabah pada 19 Julai lalu tetapi sehingga kini belum menerima jawaban untuk mendapatkan maklumat mengapa pertuduhan pendakwaan gagal dan tidak boleh di bawa ke Mahkamah.

“Sedangkan pada 8 November 2017 lalu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil  Kota Kinabalu, memaklumkan kes tersebut masih dalam siasatan dan pendakwaan pertuduhan boleh di bawa ke Mahkamah.

“Sebaliknya saya menerima surat pada 16 Julai 2018 daripada  jabatan  yang sama, menyatakan  pihak Jabatan Peguam Negara gagal untuk membuat pertuduhan walaupun ada bukti yang kukuh daripada Maybank dan BNM.

“Saya kemudiannya ada menghantar surat kepada Pengarah Peguam Negara Negeri Sabah pada 19 Julai 2018 lalu, sehingga sekarang belum menerima jawaban mengapa pertuduhan pendakwaan gagal dan tidak boleh dibawa ke Mahkamah.

“Apakah motif pihak Peguam Negara Negeri Sabah melengah-lengahkan kes ini yang mula disiasat sejak 9 Mac 2015 sedangkan semua bukti kukuh telah diperolehi.

“Sebaliknya ada dakwaan kononnya kami menipu cek Maybank yang tertera RM196,000 yang diserahkan kepada syarikat berkenaan.

“Kami bimbang hak kami dinafikan dan dalam kes ini dan kami menaruh harapan Peguam Negara dan pihak bertanggungjawab untuk memastikan keadilan diberikan kepada orang biasa seperti kami,” ujarnya yang datang sendiri ke Kuala Lumpur mewakili rakan-rakannya yang turut menjadi mangsa penipuan pelaburan.

Beliau turut mendakwa pemilik syarikat tersebut mempunyai pengaruh yang besar di Negeri Sabah dan Sarawak.

Beliau juga memaklumkan telah menghantar surat kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya menerusi wakilnya,pada Isnin lalu.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote