Malaysia Dateline

Peguam Negara, jangan nampak sangat nak mengampu

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegur kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang dilihat cuba mempertahankan kedudukan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

Idrus menerusi kenyataannya semalam berkata, tiada fakta jelas menunjukkan Perdana Menteri itu tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Justeru Salahuddin mengingatkan agar Idrus tidak bertindak seperti pengampu.

“Peguam Negara ini baca satu je ke kitab undang-undang?

“Kan dah banyak kes-kes duluan (precedent cases) yang berlaku mengenai jatuhnya sebuah kerajaan dalam negara-negara commonwealth.

“Janganlah nampak sangat nak mengampu,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya malam tadi.

Pada semalam Idrus berkata, mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik.

Oleh itu katanya, dari segi undang-undang, Perdana Menteri dan jemaah menteri sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan.