Malaysia Dateline

Peguam Negara: Kes Adib akan diteliti secara profesional

Peguam Negara, Tommy Thomas hari ini berkata, pihaknya akan meneliti secara profesional dan berhati-hati sebaik kertas siasatan berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Jabatan ini (Peguam Negara) akan berusaha sedaya upaya apabila kertas siasatan diserahkan kepada kami. Kertas tersebut akan diteliti secara professional dan itu adalah janji jabatan ini.

“Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador juga telah memberikan maklum balas kepada orang ramai bahawa pihaknya akan menyiasat perkara ini.

“Selepas siasatan dilengkapkan dan pelaku saspek dikenal pasti oleh pihak polis, kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan syor polis.

“Pada peringkat itulah tugas Jabatan Peguam Negara ini bermula. Jabatan ini perlu meneliti kertas siasatan, mempertimbangkan syor polis dan mendakwa individu-individu yang terlibat,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Justeru itu, beliau memberi jaminan pejabat pendakwa raya mengambil serius tanggungjawabnya di bawah undang-undang.

Jumaat lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib pada tahun lepas, adalah akibat perbuatan jenayah dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.