Malaysia Dateline

Peguam Negara, PDRM dan SPRM perlu siasat semula watak-watak seperti Rizal Mansor

Dalam bahasa Inggeris ada ungkapan “honour among thieves”. Diterjemahkan ke bahasa Melayu, hormat di kalangan pencuri.

Huraiannya, hatta pencuri pun saling hormat menghormati dan tidak melakukan jenayah ke atas satu sama lain.

Tak tahulah kalau ada ungkapan “ori” dalam bahasa Melayu mengenai hal itu. Saya tak pernah jumpa. Kalau sesiapa ada, mohon kongsi.

Tapi kalau dilihat kepada pakatan Mohd Najib Abdul Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, dengan orang yang bersekongkol dengan mereka, nampaknya tidaklah ada “honour” macam dalam ungkapan Inggeris itu.

Bila kena tangkap dan untuk selamatkan diri, mereka cerita habis. Macam bekas pegawai khas Rosmah, Rizal Mansor (bukan adik beradik), berpaling tadah jadi saksi pendakwaan kes rasuah projek solar sekolah luar bandar Sarawak. Banyaklah rahsia Rosmah didedahkan sehingga sabit kesalahan.

Masa Rosmah tengah naik tocang dan pakai gelaran “First Lady of Malaysia” atau FLOM, Rizal ini berlagak lebih sudu daripada kuah. Dia pertahan Rosmah dengan mulut dan duit. Siapa saja yang kritik “lady boss” dia akan diserang habis-habisan. Yang puji dibagi upahan.

Dia ada peruntukan kewangan untuk upah “cybertroopers” (laskar siber) pertahan Rosmah dan serang siapa saja yang bercakap buruk mengenai bosnya itu. Malah dalam mahkamah dia dedah siapa kepala-kepala laskar siber Rosmah. Kena siasat dari mana datang sumber kewangan itu.

Bukan itu saja, bila bos dia minta suapan projek solar, dia jadi juru runding dan tumpang sekaki. Bukan dia seorang saja yang buat kerja macam itu. Boleh kata semua yang jadi orang dalam (inner circle) Mohd Najib dan Rosmah tumpang sekali tapi bila kena tangkap, main kayu tiga.

Rizal ini pernah tuduh saya tak tahu adat Melayu dan pungut berita dari tepi jalan apabila saya menulis mengenai majlis perkahwinan besar-besaran anak Rosmah dan Najib, Nooryana Najwa, pada tahun 2016.

Memandangkan orang macam Rizal ini secara aktif bersubahat melakukan rasuah dan menyalahgunakan kuasa, nampak seolah-olah tidak adil mereka dibebaskan semata-mata kerana menjadi saksi pendakwaan.

Boleh jadi pihak Peguam Negara, PDRM dan SPRM perlu menyiasat semula watak-watak seperti Rizal ini dengan kesalahan-kesalahan lain dengan tujuan mendakwa mereka di mahkamah atau merampas aset yang diperoleh melalui wang atau kegiatan haram.

Baca juga: Secebis pengajaran dari kisah mantan PM dan isteri

Baca juga: Aaron Aziz sanggup tangguh pembedahan untuk terus bekerja demi anak