Peguam Negara pertahan pelantikan peguam dalam kes Equanimity

Peguam Negara  pertahan pelantikan peguam dalam kes Equanimity

 

 

Tommy Thomas

Peguam Negara Tommy Thomas hari ini mempertahankan keputusannya melantik seorang peguam daripada bekas firma guamannya untuk mewakili Kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam tuntutan ke atas kapal layar mewah Equanimity.

Menyatakan Sitpah Selvaratnam mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam undang-undang perkapalan, beliau berkata dalam kenyataan media bahawa keputusan untuk melantik Sitpah “adalah keputusannya dan dibuatnya sendirian, kerana beliau menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap kebolehan dan integritinya”.

“Selvaratnam … tidak akan dibayar sebarang fi. Perkhidmatannya diberikan kepada kami tanpa sebarang caj ke atas pembayar cukai,” kata Thomas memberi penjelasan terhadap laporan media kenapa beliau melantik seorang peguam daripada bekas firma guamannya pada 6 Ogos untuk mewakili Malaysia dan 1MDB dalam kes kapal layar mewah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Hujung minggu lepas, Selvaratnam dan Jeremy Joseph didatangi oleh pihak-pihak asing untuk mewakili mereka dalam perkara ini, dan mereka menolaknya.

“Ujian sebenar terhadap pengalaman dan kepakaran Selvaratnam akan terserlah jika, dan bila, Jho Low atau mana-mana pihak lain memohon untuk mengetepikan waran tangkap. Hujahan yang dikemukakan oleh semua pihak pada masa itu pastinya padat apabila Mahkamah mendengar perkara itu atas meritnya, dan adalah kritikal untuk Malaysia mempunyai peguam terbaik. Litigasi adalah perkara yang dinamik; sukar diramal di dalam mahkamah, dan kes Malaysia perlu berada dalam tangan yang selamat,” katanya.

Thomas berkata apabila beliau dimaklumkan kira-kira dua minggu lepas bahawa terdapat kemungkinan kapal layar mewah Equanimity akan diserahkan oleh Indonesia kepada Malaysia, penyelidikan perlu dilakukan segera untuk menentukan bidang kuasa Malaysia ke atas kapal itu apabila ia tiba di perairan Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan asas efektif dalam melaksanakan bidang kuasa mahkamah adalah bidang kuasa admiralti atau undang-undang perkapalan.

“Perunding di bekas firma saya, Sitpah Selvaratnam, diakui adalah peneraju bagi Peguam Admiralti berhubung dengan perkara-perkara litigasi, pernah terlibat dalam banyak penahanan kapal dan kapal layar di Mahkamah kita, dan juga membantah penahanan dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang khusus itu.

Beliau juga ialah pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Perkapalan dan Admiralti, Majlis Peguam bagi banyak tahun dan juga presiden pengasas Persatuan Undang-Undang Maritim Malaysia. Beliau, dengan itu, sudah jelas adalah pilihan tepat untuk menasihatkan Dewan Perundangan dan saya sendiri dalam perkara ini,” katanya.

Thomas juga berkata berikutan transaksinya adalah rumit dan membabitkan pelbagai peringkat urusan korporat yang dilakukan oleh ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dan penasihat-penasihat untuk menyembunyikan sumber sebenar dana digunakan untuk membeli kapal layar itu, mendraf kertas perundangan memerlukan kemahiran dan kepakaran dalam undang-undang perkapalan dan undang-undang korporat.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote