Peguam Negara tidak akan libatkan kes yang dikenali elak kepentingan, kata Majlis Peguam

Peguam Negara tidak akan libatkan kes yang dikenali elak kepentingan, kata Majlis Peguam

Thommy Thomas

Peguam Negara (AG) Tommy Thomas memberi jaminan bahawa beliau akan menarik diri daripada kes yang melibatkan pihak-pihak yang dikenalinya bagi mengelak sebarang percanggahan kepentingan, kata Majlis Peguam Malaysia.

Presiden Majlis Peguam Malaysia George Varughese berkata sekiranya keadaan sedemikian berlaku, Peguamcara Negara akan tampil menjalankan tugas sebagai Peguam Negara seperti yang dibenarkan undang-undang.

“AG memberi jaminan kepada kami bahawa apabila ia melibatkan orang yang mungkin beliau kenali ketika menjadi pengamal undang-undang sektor swasta, dan sekiranya wujud percanggahan kepentingan, beliau akan segera menarik diri daripada isu yang melibatkan orang berkenaan,” katanya pada sidang berita selepas mengadakan perbincangan tertutup dengan Thomas di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya, semalam lapor Bernama.

Thomas, 66, adalah pegamal undang-undang pertama yang dilantik secara langsung daripada majlis peguam itu sebagai Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Beliau mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam bidang perundangan.

Varughese berkata Majlis Peguam Malaysia juga mengemukakan cadangan kepada Thomas tentang penggabungan Yayasan Bantuan Guaman Negara dan Jabatan Bantuan Guaman bagi mewujudkan bantuan guaman yang dikawal selia oleh kerajaan secara lebih komprehensif.

“Kami cadangkan penubuhan sebuah badan bersepadu untuk menyediakan bantuan guaman di negara ini,” katanya.

Mengenai pembaharuan undang-undang di negara ini, Varughese berkata Majlis Peguam Malaysia telah mengemukakan 55 cadangan kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi yang diketuai Datuk K.C. Vohrah.

Antara cadangan itu adalah memansuhkan atau menghapuskan undang-undang bersifat menindas termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas (Sosma) 2012.

“Kami mencadangkan pemansuhan dan penghapusan sepenuhnya akta ini. Butiran mengenainya terkandung dalam memorandum yang kami kemukakan kepada jawatankuasa itu.

Suruhanjaya undang-undang

“Kami mencadangkan supaya diwujudkan sebuah suruhanjaya undang-undang bebas bagi membuat kajian tentang akta baharu dan meminda akta tertentu untuk disyorkan kepada Parlimen. Kami akan menyediakan butirannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Varughese berkata sebagai contoh, AG amat berminat untuk melihat majlis itu mengemukakan cadangan tentang pindaan terhadap Akta Profesion Guaman 1976 bagi mengukuhkan lagi kebebasan dan autonomi Majlis Peguam Malaysia dengan secepat mungkin.

Mengenai pertemuan hari ini, beliau berkata ia amat berhasil dengan Thomas dan majlis itu mengemukakan syor dan cadangan selain Peguam Negara itu berharap untuk menjalinkan hubungan lebih erat dengan Majlis Peguam Malaysia termasuk berkongsi pengetahuan.

“AG menekankan tentang perlunya rundingan diadakan dengan semua pihak yang berkepentingan berhubung pembaharuan undang-undang.

“Beliau meminta Majlis Peguam Malaysia supaya memainkan peranan utama untuk menggerakkan agenda permbaharuan ini berikutan pengalaman luas majlis ini,” kata Varughese.

 

6.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 4.0