Peguam Negara tutup kes akuan bersumpah Phang Li Koon

Peguam Negara tutup kes akuan bersumpah Phang Li Koon

Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk menutup kes terhadap Phang Li Koon, pemilik asal banglo Lim Guan Eng,  yang didakwa membuat akuan bersumpah (SD) palsu, lapor laman MStar.

Menurut laman itu, Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata beliau dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya mengenai keputusan itu yang dibuat kira-kira dua atau tiga hari lalu oleh Peguam Negara.

“Ia telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Susulan (NFA),” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan di ibu pejabat polis negeri, Rabu semalam.

Beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Phang kerana membuat SD palsu mengenai penjualan banglonya kepada Lim Guan Eng yang didakwa dibuat di bawah nilai pasaran.

Ahli Parlimen Umno mendakwa, Ketua Menteri Pulau Pinang itu membeli banglo dengan harga murah daripada Phang kerana kedua-duanya ada kepentingan.

Mereka mendakwa kes ini sama dengan kes bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang telah dipenjarakan kerana kesalahan yang sama.

Ekoran dakwaan itu, Phang telah membuat suatu akuan berkanun mendakwa bahawa dia tidak mempunyai urusan perniagaan dengan kerajaan negeri.

Dalam akuan itu, Phang mengaku tidak menyesal menjual banglo itu pada harga di bawah pasaran kerana sangat menghormati Lim Guan Eng.

Sebaliknya, dia bangga kerana dapat menjual banglo itu kepada Guan Eng yang disifatkannya sebagai pemimpin yang telah berjaya membangunkan Pulau Pinang.

Malah, Phang berkata, Guan Eng dan keluarganya menjadi penyewa yang baik sepanjang enam tahun mendiami banglo itu.

“Saya telah menjual rumah saya kepada orang yang saya hormati. Saya tidak menyesal menjual rumah saya kepada Ketua Menteri dengan harga RM2.8 juta,” katanya menerusi Akuan Sumpah.

Akuan Bersumpah itu dibacakan oleh EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh di KOMTAR, Georgetown, 21 Mac lalu.

Phang bagaimanapun tidak hadir.

Phang menjelaskan, dengan penjualan banglo itu, dia telah membebaskan dirinya daripada masalah dan tekanan yang tidak diperlukan.

“Menyewakan rumah kepada mereka (Guan Eng dan keluarga) telah menyebabkan saya rasa tertekan berikutan tindakan BN dan NGO-NGO yang menuduh saya dengan cerita-cerita palsu.

“Pada masa itu saya membuat keputusan untuk menjual rumah tersebut. Ada lagi kejadian-kejadian lain pada tahun-tahun seterusnya, daripada demonstrasi dan upacara pengebumian di depan rumah, kepada bom botol molotov cocktail yang dibaling ke dalam kawasan rumah itu yang menyebabkan keadaan rumah terdedah dan tidak selamat.

“Berita-berita disiarkan tanpa henti tentang rumah tersebut dengan menyiarkan alamat dan gambarnya sekali di dalam akhbar-akhbar. Saya merasa sangat tidak selesa, kerana jika suatu hari nanti saya atau mana-mana ahli keluarga dan sanak-saudara mahu menetap di sana pada masa depan, saya tidak akan merasa selamat dan terjamin untuk tinggal di sebuah rumah yang amat terdedah serta terlalu diketahui umum,” akui Phang.

Dalam akuan sumpah itu, Phang mengaku tidak terbabit langsung dalam skandal Taman Manggis, seperti yang dibangkitkan dalam serangan terhadap Guan Eng.

Sebelum ini, beliau dikaitkan dengan Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) yang mendapat tanah di Taman Manggis. Kerajaan Pulau Pinang menjelaskan syarikat itu mendapat tanah tersebut menerusi tender terbuka.

Tanah itu akan dibangunkan sebuah hospital, hotel dan tempat meletak kenderaan.

Terdapat dakwaan bahawa tanah di Taman Manggis itu sepatutnya dibangunkan untuk projek rumah rakyat fasa kedua.

Pemimpin UMNO khuatir pembelian banglo itu ada kaitan dengan skandal Taman Manggis.

Ekoran kenyataan bersumpah itu, pelbagai pihak khasnya Umno membuat laporan polis terhadapnya.

Namun kini ia telah disifatkan sebagai tiada kes.

TAGS