Malaysia Dateline

Peguam Pejuang desak SPRM siasat Muhyiddin

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) segera menyiasat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas didakwa cuba menyogok ahli Parlimen Gua Musang dengan jawatan.

Ia susulan pendedahan pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini yang mendakwa beliau ditawarkan jawatan penasihat Petronas oleh Muhyiddin.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan peguam mewakili Pejuang, mereka mempertikaikan kenyataan tersebut di mana sehingga hari ini tiada sebarang respon dari pejabat Perdana Menteri.

“Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dengan jelas menyatakan bahawa mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan kedudukannya bagi mendapat apa-apa suapan adalah satu kesalahan.

“Takrifan ‘suapan’ di bawah Seksyen 3 Akta yang sama adalah termasuk juga ‘apa-apa jawatan’.

“Tindakan Muhyiddin yang menggunakan kedudukannya bagi menyogok jawatan penasihat Petronas kepada Gua Musang bukan hanya memalukan, bahkan merupakan kesalahan rasuah serius dan wajar disiasat dengan segera oleh SPRM,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, kata kenyataan itu, biarpun tiada aduan yang dilaporkan orang awam, Seksyen 29 (3) Akta SPRM memberi kuasa yang luas kepada SPRM untuk menyiasat Perdana Menteri.

Seksyen itu menyebut “Jika seseorang pegawai Suruhanjaya mempunyai sebab untuk mengesyaki suatu kesalahan di bawah Akta ini berikutan suatu aduan yang dibuat di bawah subseksyen (1) atau maklumat yang diterima selainnya olehnya, dia hendaklah menyebabkan penyiasatan dibuat dan bagi maksud itu, boleh menjalankan segala kuasa penyiasatan yang diperuntukkan di bawah Akta ini dan Kanun Tatacara Jenayah”.

Justeru, Pejuang menyeru agar SPRM melakukan siasatan terhadap Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu dengan segera, adil dan telus bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi tersebut.