Malaysia Dateline

Peguam Pejuang gesa Ahli Parlimen tolak Belanjawan 2021

Peguam Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa ahli-ahli Parlimen supaya bertegas menolak Belanjawan 2021 yang jelas dirangka untuk kelangsungan politik kerajaan Perikatan Nasional (PN)

Parti itu berkata, ahli-ahli Parlimen diseru agar tidak mudah terpengaruh dengan apa-apa langkah saat akhir pihak kerajaan, termasuk jika mereka meminda cadangan pengeluaran Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari Akaun 1 dan bersetuju memberi moratorium.

Ini kerana katanya, kedua-dua perkara berkenaan tidak melibatkan wang kerajaan secara langsung, malah ia boleh dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan sendiri melalui tindakan eksekutif melibatkan KWSP, Bank Negara Malaysia dan bank-bank komersil.

“Umum mengetahui bahawa sebelum ini pun, pemberian moratorium telah dilakukan kerajaan melalui tindakan eksekutif terhadap bank-bank dan bukannya melalui proses legislatif seperti persidangan khas Parlimen, penggubalan akta khas atau pembentangan belanjawan.

“Maka, ahli-ahli Parlimen perlu bersikap objektif dan jangan mudah dikelirukan di dalam perkara ini,” kata badan guaman tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan peguam Pejuang itu yakin masa hadapan Malaysia memerlukan sebuah kerajaan berintegriti yang dipimpin Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang baharu.

Pada masa sama, mereka turut menyarankan Perdana Menteri meletakkan jawatan sekiranya Belanjawan 2021 ditolak.

Ini katanya, bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baru boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa melalui proses pilihan raya dan pelantikan tersebut boleh dibuat menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan

Menurutnya, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan dibmelainkan jika atas permintaannya, Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mereka turut meminta agar kerajaan baru kelak mempertimbangkan untuk mewujudkan satu bentuk kerajaan perpaduan dan membentang semula belanjawan baru atau membuat pindaan-pindaan kepada belanjawan 2021 yang ditolak.