Peguam penjenayah menegakkan keadilan

Oleh ARIF ATAN

Rasa saya inilah soalan yang bermain di fikiran 90% pelajar undang-undang sebelum mereka menamatkan pelajaran mereka.

Soalan itu adalah adakah kita dianggap bersubahat dengan tertuduh sekiranya kita mewakili seorang tertuduh atas sesuatu kesalahan terutama sekiranya kesalahan itu berhubungan dengan kesalahan moral seperti kesalahan merogol atau kesalahan berat seperti membunuh atau merompak.

Saya masih ingat soalan ini juga bermain di minda seorang rakan sekelas yang pintar. Beliau sangat berminat untuk menjadi peguam tetapi bapanya, seorang guru agama melarang beliau menjadi peguam kerana khuatir dosa bersubahat dengan penjenayah apabila beliau mewakili seorang tertuduh.

Saya faham sebagai guru agama pastinya mahukan anaknya ke syurga dan akan mencegah anaknya daripada berbuat subahat dengan pendosa.

Sehingga ke akhirnya beliau tidak langsung menjadi peguam dan memilih untuk menjadi pensyarah. Alhamdulilah, beliau cemerlang sebagai pensyarah dan berjaya memperolehi ijazah Ph.D.

Sebenarnya, soalan yang sama bermain di minda kita dan jawapan daripada pensyarah pada ketika itu tidak begitu meyakinkan kita. Kita masih berasa berdosa dan bersubahat jika kita mewakili tertuduh sedemikian.

Bayangkan jika sebelum ini ada seseorang yang dituduh sebagai pembunuh kepada anggota bomba, Allahyarham Adib dan kita pula dilantik sebagai peguam tertuduh?

Pada ketika itu, riuh seluruh Malaysia bahawa Adib dibunuh mereka yang terlibat dengan rusuhan di kuil dan kita pula menjadi peguamnya. Tentu sekali bercupak-cupak para ‘haters’ datang menyerang kita dengan pelbagai tohmahan.

Bagi seorang pelajar undang-undang pastinya pelbagai persoalan dan fikiran akan menerjah minda. Persoalan seperti adakah kita sebagai peguam dianggap bersubahat? Adakah kita melakukan kezaliman terhadap mangsa? Adakah kita berdosa dan adakah disebabkan hal tersebut maka kita akan masuk neraka?

Seingat saya penjelasan yang paling bernas pada masa itu adalah datangnya daripada Allahyarham Profesor Dr Mahmod Saidon. Allahyarham berjasa besar dalam bidang perundangan ini terutamanya kepada pelajar Melayu Islam.

Pandangan jauh Profesor Ahmad Ibrahim dengan dibantu oleh Profesor Mahmod Saidon telah menyebabkan Universiti Islam Sungai Pusu telah melahirkan ribuan graduan undang-undang.

Jasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan dukungan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membangunkan Universiti Islam Sungai Pusu itu amatlah luar biasa jika kita kenang kembali. Sehingga kini nama Universiti Islam Sungai Pusu itu masyhur ke seluruh dunia khasnya di dunia Arab dan Afrika.

Profesor Mahmod Saidon itu bukan sahaja pakar dalam perundangan syariah bahkan beliau juga pakar dalam perundangan sivil. Beliau banyak mengkaji dan membandingkan antara dua disiplin ilmu itu sesuai dengan teori ‘Islamization of Knowledge’ yang menjadi tema Universiti Islam Sungai Pusu pada ketika itu.

Hasilnya, beliau menulis pelbagai makalah dan artikel yang boleh dirujuk sehingga kini yang mana beliau menggali khazanah ilmu Islam lampau dan menjadikannya sebahagian daripada silibus pembelajaran.

Beliau membawa pelbagai contoh para sahabat yang membela orang kena tuduh. Antara contoh yang popular pada masa itu adalah kisah seorang wanita yang menuduh seorang lelaki sebagai penzina dan membawa kain yang kononnya sudah dicemari dengan ‘air keramat’ lelaki itu.

Hampir sahaja Sayyidina Umar r.a menghukum lelaki itu tetapi atas kebijaksanaan Sayyidina Ali r.a maka beliau telah mengambil air panas dan mencurahkan ke atas kain itu. Ternyata kesan ‘air keramat’ itu rupa-rupanya adalah telur putih yang dilumur dan apabila dicurahkan air panas ianya telah menjadi telur masak.

Selain itu, pelajar juga telah didedahkan dengan prinsip ‘bara’ah al-zimmah’ iaitu seseorang itu tidak bersalah sehingga beliau didapati bersalah. Ini bermakna ketika mana tertuduh itu dituduh beliau masih belum bersalah dan seseorang hakim tidak boleh prejudis terhadapnya sehingga kesemua bukti-bukti telah dibentangkan dan diuji di dalam mahkamah.

Maknanya, proses perbicaraan mahkamah itu adalah sebagai tempat menguji bukti pihak pendakwaan. Ada bukti yang boleh diterima dan ada bukti yang perlu ditolak.

Segala bukti yang bersifat cakap dengar (hearsay) adalah ditolak. Bukti cakap dengar ini maknanya saksi itu sendiri tidak mendengar atau melihat atau merasa bukti itu dengan pancainderanya sendiri dan hanya mendengar daripada orang lain.

Adalah tidak selamat sekiranya mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan cerita daripada pihak ketiga.

Sebaliknya, pihak ketiga itu sendiri yang harus datang ke mahkamah dan menceritakan hal tersebut. Prinsip ini sama sahaja sama ada di bawah undang-undang sivil atau undang-undang syariah.

Ada juga ketika yang mana pendakwa yang telah memimpin soalan kepada saksi. Memimpin soalan (leading question) juga adalah dilarang di mahkamah melainkan dalam sesi soal balas oleh pihak lawan. Memimpin soalan kepada saksi adalah umpama membubuh jawapan ke dalam mulut seorang saksi.

Tugas peguam pula adalah untuk menguji kredibiliti saksi tersebut dan saksi-saksi lain. Kredibiliti seorang saksi akan tercemar sekiranya keterangan yang diberikan olehnya tidak konsisten dengan saksi lain.

Adalah sukar untuk menyusun keterangan seorang saksi untuk menjadi konsisten dengan keterangan seorang saksi yang lain dalam kes jenayah. Seorang saksi sukar untuk berbohong disebabkan keterangannya akan diuji dengan proses soal balas peguam.

Peguam akan tahu bertanyakan soalan-soalan yang berpusing-pusing sehingga menyebabkan saksi pembohong akan terperangkap dengan ceritanya sendiri.

Bukan tidak ada saksi yang berbohong di mahkamah. Keterangan saksi yang berbohong adalah dilaknat oleh Allah Taala sehingga hari kiamat.

Berbohong di mahkamah adalah satu dosa besar tetapi itulah yang kerap berlaku kerana saksi itu lupa bahawa malaikat akan mencatat pembohongannya. Ada juga saksi yang tidak berbohong tetapi beliau tidak dapat mengingati kejadian yang berlaku dan mula mereka-reka cerita. Apabila disoal balas oleh peguam beliau pastinya tidak dapat menjawab dengan betul dan tepat.

Dalam perundangan syariah sekalipun sangat popular kata-kata bahawa membebaskan 10 orang yang bersalah adalah lebih baik dan lebih adil daripada mensabitkan seorang yang tidak bersalah.

Sebab itu, para hakim yang adil amat teliti dalam perkara ini. Sebab itu juga wujudnya peringkat rayuan kerana mengenangkan ada hakim yang mungkin terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang ketika membuat sabitan. Justeru, kesilapan hakim itu akan dapat diperbetulkan oleh hakim di peringkat rayuan.

Setelah mendapat tasawwur (perspektif) yang jelas mengenai mewakili tertuduh maka kita tidak akan ragu-ragu dengan tohmahan orang atau tanggapan silap seorang ustaz bahawa mewakili tertuduh itu adalah ibarat bersubahat dengan tertuduh.

Barangkali ustaz sebegini tidak begitu mendalam pengetahuannya mengenai asas-asas berguam. Bahkan, jika seseorang itu mempelajari tentang undang-undang hudud dan qisas beliau akan faham bahawa pensabitan di bawah undang-undang hudud dan qisas itu memerlukan beban bukti yang lebih tinggi berbanding berbanding dengan pensabitan di bawah undang-undang sivil.

Sebab itulah ramai ulama yang menentang untuk mengkategorikan kesalahan rogol (zina bil jabr) di bawah kesalahan hudud kerana meletakkan kesalahan rogol di bawah undang-undang hudud boleh menyebabkan ramai pesalah akan terlepas.

Peluang untuk mewakili penjenayah ini datang ketika seawal tahun pertama saya beramal sebagai peguam. Kes tersebut adalah kes yang melibatkan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong (kes Al-Maunah).

Pada masa itu, saya masih ingat peguam yang mula-mula menawarkan khidmat guaman itu adalah seorang peguam muda, saudara Kamarul Hisham. Beliau hadir atas kapasiti sebagai peguam probono yang dihantar oleh Majlis Peguam.

Oleh sebab tertuduh itu agak ramai (melebihi 20 orang) maka tidak mungkin beliau mewakili kesemua tertuduh. Maka, ramailah peguam yang menawarkan diri untuk mewakili tertuduh-tertuduh itu.

Antara peguam-peguam yang menawarkan khidmat guaman adalah mereka yang hebat-hebat seperti Karpal Singh, Zainur Zakaria, Zamani Ibrahim, Kitson Foong, Zaini Zainol, Jalaludin, Bhagwan Singh, Zulkifli Noordin, Md Radzi Mustafa, Hasnal Radzua Marican, Zainal Ithnin, Zabidi Mohamad dan beberapa yang lain.

Pihak pendakwaan pula diketuai oleh Tan Sri Mokhtar Abdullah dan dibantu oleh beberapa timbalan pendakwaraya kanan iaitu Abdul Gani Patail, Salahuddin Saidin, Mohd Yusof Zainal Abidin, Tun Majid Tun Hamzah, Suzana Atan, Asmah dan lain-lain.

Pada peringkat awal perbicaraan, bos saya telah terlibat dengan perbicaraan itu. Namun, dek kerana perjalanan kes tersebut yang panjang beliau telah meminta saya menghadiri perbicaraan itu untuk membantu peguam Zulkifli Noordin.

Saya patuh dengan arahan bos itu (boleh kata kita wala’ dan menjadi walaun bos pada masa itu) dan telah hadir setiap sesi perbicaraan yang berlangsung hampir dua tahun.

Setelah tertuduh dipanggil membela diri, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya mewakili empat orang tertuduh sehingga kes itu dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

Perbicaraan itu boleh dianggap sebagai perbicaraan marathon kerana prosesnya panjang dan peguam perlu menghadiri perbicaraan setiap hari dari Isnin hingga Khamis. Malahan, sehingga ke peringkat pengampunan diraja pun saya terlibat sama dan saya amat gembira apabila mendengar berita bahawa mereka telah mendapat pembebasan baru-baru ini.

Namun, oleh kerana kes itu adalah kes yang bukan berkaitan moral mungkin kita tidak berasa bersalah sangat untuk mewakili tertuduh begitu.

Peluang berikutnya adalah apabila ada seorang klien yang juga seorang guru di sebuah pengajian tahfiz swasta telah dituduh meliwat muridnya sendiri. Kali ini sememangnya mewakili tertuduh sebegitu akan mencabar diri.

Namun, apabila kita meneliti bukti-bukti yang dikemukakan ternyata kita merasakan bahawa tidak sepatutnya tertuduh itu dituduh sedemikian rupa. Ini kerana tiada bukti yang jelas berlaku kemasukan ‘objek tumpul’ ke dalam ‘lubang keramat’ mangsa.

Kenyataan ini konsisten dengan keterangan tertuduh dan disokong dengan laporan perubatan yang dikemukakan yang menunjukkan tiadanya bukti kemasukan. Kemungkinan besar pendakwa membuat pertuduhan itu kerana ada dijumpai ‘tompok-tompok air keramat’ di tempat kejadian yang mempunyai DNA tertuduh.

Apabila ditanya kepada tertuduh beliau menyatakan bahawa ‘tompok-tompok air keramat’ itu sememangnya kepunyaan beliau tetapi ianya telah ‘mengalir’ awal akibat ‘naik sheikh’ sebelum berlaku penembusan ‘objek’ (anda tidak perlu membayangkan yang bukan-bukan).

Malang sekali bagi beliau sewaktu hari beliau dituduh, beliau telah dinafikan jaminan oleh Hakim Sesyen pada waktu itu. Maka, kami terpaksa membuat permohonan lain kepada Hakim Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Augustine Paul.

Hakim Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan jaminan itu atas prinsip undang-undang bahawa dalam kes sedemikian seseorang tertuduh boleh dijamin dengan syarat-syarat yang ketat.

Oleh sebab kami yakin bahawa tertuduh itu tidak melakukan kesalahan seperti yang dituduh maka tidak sepatutnya pendakwa meneruskan pertuduhan ke atasnya. Kami membuat representasi kepada pejabat pendakwa namun pendakwa tetap ingin meneruskan pertuduhan ke atasnya.

Pada masa yang sama, pihak mangsa juga ada memberitahu bahawa mereka enggan meneruskan pendakwaan dan ingin menarik balik laporan polis ke atas tertuduh.

Pihak mangsa telah membuat laporan polis untuk menarik balik laporan terdahulu dan polis telah mengambil kenyataan daripada mangsa sama ada mangsa disogok atau didesak atau didorong untuk menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Selepas itu, kami sekali lagi membuat representasi kepada pejabat pendakwa untuk menarik balik pertuduhan itu atau menukarkan pertuduhan kepada pertuduhan yang lebih ringan tetapi malangnya representasi itu ditolak atas alasan kepentingan awam.

Walaupun begitu, kes ini akhirnya telah mendapat DNAA (Discharge Not Amounting To Acquittal) disebabkan saksi utama kes ini iaitu mangsa tidak hadir untuk memberikan keterangan.

Beberapa tahun kemudian, ada seorang klien yang meminta untuk dibicarakan atas kesalahan menjadi pengantara bagi melacurkan beberapa orang gadis. Kes ini telah dibicarakan separuh jalan dalam keadaan beliau tidak diwakili.

Saya hanya dilantik sewaktu perbicaraan telah berlangsung. Beliau sebenarnya bekas banduan dadah yang baru dibebaskan. Oleh kerana, pengaruh kawan-kawan dan tiada pekerjaan maka beliau bergaul kembali dengan kawan-kawan lama.

Ada kawan-kawan lama beliau yang sememangnya terlibat dengan dadah dan baru cuba-cuba untuk membuat perusahaan pelacuran ini. Namun, oleh sebab beliau dituduh atas kesalahan menjadi pengantara pelacuran maka sebenarnya pertuduhan itu tidak tepat kerana belum berlaku lagi apa-apa kegiatan pelacuran yang melibatkan gadis-gadis tersebut.

Dalam kes ini ada beberapa orang anak gadis di utara tanahair telah diperdaya untuk datang ke ibu kota atas dasar kononnya untuk mencari pekerjaan tetapi sebenarnya telah dibawa untuk dilacurkan.

Klien ini ditugaskan untuk menjaga gadis-gadis ini. Namun, sebelum berlaku apa-apa kegiatan pelacuran tempat kejadian telah diserbu dan beliau telah ditangkap. Gadis-gadis itu juga telah dibebaskan.

Jadi, apabila kes ini dibawa ke mahkamah dan dibicarakan maka pertuduhan itu akan gagal kerana keterangan dan fakta kes tidak akan konsisten dengan pertuduhan yang dibuat. Ternyata bahawa akhirnya dalam kes ini tertuduh langsung tidak dipanggil untuk membela diri kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan berlakunya kegiatan pelacuran.

Dalam kes lain yang melibatkan orang yang agak rapat dengan saya yang mana anaknya telah dituduh terlibat dengan kegiatan dadah. Anaknya ini sememangnya seorang yang nakal dan sering keluar malam padahal usianya masih lagi dalam kategori juvana.

Pada malam kejadian kira-kira jam 3 pagi anaknya telah keluar rumah untuk berjumpa dengan kawan-kawan di tangga apartmen rumahnya. Malangnya, pihak polis telah menyerbu tempat itu dan anak itu telah ditangkap bersama rakan-rakannya yang lain.

Polis telah menjumpai sedikit ganja bersama mereka. Oleh sebab mereka ditangkap dalam sekumpulan menyebabkan anak itu telah didakwa meskipun ganja itu bukan miliknya. Hal itu tentu sekali mencemaskan ibu kepada anak itu.

Pada hari mereka dituduh, kawan anak itu telah mengaku bahawa ganja itu kepunyaannya. Hasil ujian urin anak itu juga negatif.

Jadi, selaku peguam saya telah menulis surat representasi kepada pihak pendakwaan dan memohon anak itu dilepaskan atas dasar bahawa ganja itu bukan milik anak tersebut dan ada tertuduh lain yang mengaku ganja itu miliknya. Hasilnya, anak itu telah dibebaskan tanpa dibicarakan.

Bagi mereka yang tidak pernah dituduh di mahkamah barangkali sukar untuk memahami mengapa seseorang yang dituduh itu dilepaskan. YB Hanipa Maidin pernah bercerita kepada saya pengalamannya mewakili seorang lelaki yang dituduh merogol seorang anak gadis kecil di bawah umur.

Anak gadis itu telah transit di rumah lelaki itu setelah balik sekolah. Tetapi, YB Hanipa Maidin sangat yakin bahawa lelaki itu tidak bersalah. Beliau yakin bahawa kejadian rogol itu berlaku tetapi bukannya dibuat oleh lelaki itu tetapi dibuat oleh ahli keluarga gadis itu sendiri.

Lelaki itu hanya menjadi ‘kambing hitam’ sahaja kerana gadis itu takut dengan ahli keluarganya sendiri. Di peringkat Mahkamah Sesyen, lelaki itu telah disabitkan atas kesalahan merogol.

Begitu juga semasa peringkat rayuan di Mahkamah Tinggi. Namun, semasa di Mahkamah Rayuan beliau telah berjaya menimbulkan keraguan ke atas kesalahan yang dilakukan itu dan akhirnya lelaki itu dibebaskan.

Bayangkan jika ada ahli keluarga kita yang dianiaya sebegitu rupa pastinya kita akan berdoa siang dan malam untuk mendapatkan keadilan. Dalam keadaan sedemikian sebenarnya peguam penjenayah memainkan peranan dan fungsi yang besar dalam menegakkan keadilan.

Namun, tidak juga saya nafikan ada peguam yang tidak mementingkan keadilan dan hanya mementingkan wang ringgit semata-mata. Peguam sebegini akan membuat pelbagai cara yang tidak beretika untuk membebaskan anakguamnya sehingga sanggup merisikokan anakguamnya dengan cerita-cerita dongeng yang direka-reka.

Ada yang berjaya melepaskan anakguamnya dengan cara ini. Ada pula peguam yang bersekongkol dengan pihak pendakwaan, saksi malahan hakim sendiri dengan memberikan suapan kepada mereka untuk membebaskan anakguam mereka.

Ada peguam dan hakim yang telah ditangkap kerana menerima rasuah untuk membebaskan tertuduh. Peguam sebegini sememangnya adalah calon ahli neraka dan membawa nama busuk dalam profesion.

Pokoknya menjadi peguam penjenayah bukanlah satu jenayah dan bukan juga bersubahat dengan penjenayah. Tugas peguam adalah untuk menegakkan keadilan sama seperti pendakwa dan hakim.

Justeru, bagi mereka yang baru menceburi dunia kepeguaman atau para pelajar di universiti tidak perlu ragu untuk mengembangkan profesion mereka sebagai peguam penjenayah.

Ramai pelajar Melayu Islam yang ragu-ragu untuk menceburi bidang ini kerana persoalan-persoalan yang dinyatakan di atas.

Jika anda tidak memasuki bidang ini maka bidang ini akan berterusan dipelopori oleh bangsa lain dan alangkah ruginya jika ribuan wang ringgit upah peguam itu yang sepatutnya mengalir ke dalam kantung peguam sebangsa dengan anda mengalir kepada bangsa lain.