Peguam persoal institusi Raja disiasat bawah Akta Hasutan calarkan demokrasi

Peguam persoal institusi Raja disiasat bawah Akta Hasutan calarkan demokrasi
Nik Nazmi Nik Ahmad

Nik Nazmi Nik Ahmad

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan tindakan menyiasat seorang peguam Fadiah Nadwa Fikri di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Hasutan mencalarkan demokrasi.

“Pada masa ini satu tempoh moratorium ke atas siasatan dan pendakwaan di bawah undang-undang ini patut ditetapkan sehinggalah ianya dimansuhkan seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Sesiapa yang tidak bersetuju dengan pandangan Fadiah, atau orang lain, sepatutnya menjawab dengan hujah mereka sendiri, dan bukannya dengan menggunakan undang-undang ini setiap kali mereka mendengar sesuatu yang mereka tidak senangi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Fadiah Nadwa har ini dipanggil polis susulan laporan dibuat terhadapnyaberhubung satu artikel ditulisnya yang dikatakan mempersoalkan institusi diraja dan berunsur hasutan.

Fadiah Nadwa memaklumkan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Beliau diminta hadir ke Ibupejabat Polis Bricksfield untuk memberikan keterangan jam 4 petang ini.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan menyiasat Fadiah Nadwa Fikri, seorang peguam, di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan satu artikel blog yang ditulisnya yang menyentuh hal institusi raja di Malaysia.

Nik Nazmi yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan berkata, Akta Hasutan dan undang-undang lain yang bersifat menindas adalah halangan kepada pembangunan demokrasi negara selain wacana yang aman dan matang, serta kebebasan hak bersuara dalam Malaysia Baru.

“Saya mempertahankan muafakat kemerdekaan yang terdiri dari sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara kita ini.

“Adalah penting untuk kita terus menegakkan kedua-dua sistem ini demi masa depan negara yang pelbagai kaum dan agama,” ujarnya.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0