Malaysia Dateline

Peguam putar belit

Antara sangkaan ramai adalah bahawa peguam ini pandai putar belit. Peguam pandai bermain kata-kata sehingga yang benar jadi salah yang salah jadi benar.

Ada yang kata jadi peguam itu tidak salah tetapi yang salahnya apabila dia memutar belit. Ada yang kata peguam ini bekerjasama dengan penjenayah-penjenayah sehingga menyebabkan tertuduh yang 99% diketahui melakukan kesalahan dilepaskan daripada pertuduhan.

Justeru, ramai peguam yang dipandang serong dan ramai peguam yang dianggap sebagai tali barut penjenayah. Anehnya, pihak lawan peguam seperti polis dan pendakwaraya pula dianggap suci dan tidak bersalah serta dianggap sebagai penegak kebenaran. Padahal mereka pun dalam bidang yang sama.

Ada yang menyarankan supaya peguam itu mengkaji sesuatu kes dan jika selepas itu mendapati klien itu bersalah maka janganlah mewakili orang itu. Biarkan tertuduh itu dibelasah sehingga terkulai dan dipenjarakan semaksima mungkin. Ini pun pelik juga sebab tugas peguam bukan untuk tentukan orang itu salah atau betul.

Tugas orang yang tentukan salah atau betul ini adalah tugas hakim. Tugas peguam adalah untuk bantu tertuduh itu menguji bukti-bukti yang ada dengan pendakwa menurut undang-undang keterangan.

Mana-mana bukti yang tidak boleh diterima menurut undang-undang patut dibuang dan tidak diambilkira oleh hakim ketika membuat keputusan. Kemudiannya, jika hakim mendapati bukti-bukti diterima maka hakim akan memutuskan bahawa tertuduh itu perlu membela diri.

Ketika membela diri, tugas peguam pula mengemukakan bukti-bukti yang tertuduh ingin bentangkan kepada mahkamah dan kini menjadi tugas pendakwa pula menguji bukti-bukti tersebut sama ada boleh diterima atau tidak oleh mahkamah.

Namun, persepsi bahawa peguam ini jahat dan penuh putar-belit ini sudah berkurun-kurun wujud dalam minda dan benak orang ramai. William Shakespeare contohnya telah menulis, “The first thing we do, let’s kill all the lawyers” [Perkara pertama yang kita buat adalah marilah kita bunuh semua peguam terlebih dahulu].

Kata-kata Shakespeare ini sering dijadikan momokan oleh orang ramai betapa kerjaya sebagai peguam ini penuh dengan putar-belit sehingga menyebabkan yang bersalah menjadi tidak bersalah.

Begitu juga Mark Twain, beberapa tulisannya penuh dengan kata-kata sinis terhadap peguam. Antara kata-katanya, “The law is a system that protects everybody who can afford to hire a good lawyer” [Undang-undang adalah satu sistem yang melindungi setiap orang yang mampu mengupah seorang peguam yang bagus] dan “A good lawyer knows the law, a clever one takes the judge to lunch” [Seorang peguam yang bagus adalah peguam yang tahu undang-undang, manakala seorang peguam yang bijak adalah peguam yang tahu menjamu makan tengahari seorang hakim].

Baru-baru ini semasa dijemput untuk berkongsi pengalaman dengan bakal-bakal peguam, seorang sahabat saya telah menceritakan kisah beliau sewaktu di universiti yang mana seorang pensyarah beliau yang mengajar subjek berkaitan undang-undang Islam dengan tegas melarang dan mengharamkan murid-muridnya daripada menjadi peguam penjenayah.

Takdir tuhan, beberapa belas tahun selepas itu, muridnya itu dilantik untuk mewakili saudara kepada pensyarah berkenaan dalam satu kes bunuh. Dalam kes itu, saudara pensyarah itu (tertuduh) langsung tidak terlibat dengan jenayah itu tetapi hanya dijadikan kambing hitam untuk menutup kesalahan orang atasan.

Apabila sahabat itu memulangkan kembali ‘paku buah keras’ kepada pensyarah berkenaan baharulah beliau sedar betapa pentingnya untuk wujud peguam yang jujur dalam litigasi jenayah dan bersyukur wujud peguam yang jujur seperti sahabat saya itu.

Beberapa tahun lepas ketika tertuduh dalam kes kematian Canny Ong dibicarakan di mahkamah, orang ramai kaget dengan tindakan peguam Hanif Khatri membela tertuduh.
Jika sesiapa mengikuti cerita Canny Ong itu mereka tidak tergamak untuk mewakili tertuduh kerana mendapati Canny Ong itu telah dibunuh dengan kejam sekali dan bagaimanakah seorang peguam bertungkus-lumus membuat pelbagai pembelaan untuk melepaskan tertuduh.

Saya masih ingat pada ketika kes Canny Ong itu dibicarakan, seorang Hakim Sesyen di Kuala Lumpur, Tuan Mohamad Saman telah menyebut kekaguman beliau dengan tindakan peguam Hanif Khatri yang bersungguh-sungguh menjalankan tugas sebagai peguam. Beliau mengatakan bahawa sifat sebegitu perlu wujud dalam diri peguam untuk berjaya.

Dalam satu kes perbicaraan Dato’ Sri Najib Tun Razak yang berkaitan dengan kes 1MDB itu juga ramai yang memandang serong kepada peguam Tan Sri Shafee yang mewakili beliau. Ramai orang yang melihat betapa Tan Sri Shafee bertungkus-lumus mewujudkan pelbagai strategi untuk melepaskan Dato’ Sri Najib daripada pertuduhan tersebut.

Itu sememangnya adalah tugas peguam untuk memastikan anak guamnya mendapat perbicaraan yang adil. Adil ini maksudnya kedua-dua belah pihak mendapat peluang yang saksama dalam satu-satu perbicaraan dan hakim tidak boleh bias dengan keterangan mana-mana pihak sehinggalah selesai keterangan-keterangan diberikan baharulah hakim boleh membuat keputusan.

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu misalnya pernah didakwa di mahkamah atas alasan memfitnah pihak polis kerana satu ucapan yang dibuat olehnya yang mana beliau meminta semua pejuang, bukan sahaja daripada Umno, untuk diiktiraf semasa sambutan hari kemerdekaan di negara ini termasuklah Mat Indera. Dalam kes itu, Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth mendapati pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap Haji Mohamad Sabu.

Antara saksi yang dipanggil ketika itu adalah mendiang Profesor Dr Tan Sri Khoo Kay Kim, seorang pakar sejarah yang terkenal di Malaysia. Dalam perbicaraan tersebut antara yang dibangkitkan oleh peguam Haji Mohamad Sabu, YB Mohamed Hanipa Maidin adalah bahawa Malaysia tidak pernah dijajah dan sebenarnya Hari Merdeka yang disambut setiap 31 Ogos itu sebenarnya tidak tepat menurut undang-undang.

Akhirnya, pakar sejarah itu sendiri pening dengan fakta yang dikemukakan oleh peguam kerana Malaysia sememangnya bukan tanah jajahan Inggeris dan tidak timbul isu kemerdekaan. Akhirnya hakim sesyen dan hakim mahkamah tinggi di peringkat rayuan telah membebaskan Haji Mohamad Sabu dalam pertuduhan itu.

Istilah peguam putar-belit ini sebenarnya amat tidak adil kepada peguam. Peguam hanya memberikan dimensi baharu kepada pemahaman terhadap satu-satu fakta. Bagi sesetengah pihak apabila orang itu didakwa maka orang itu sudah bersalah padahal itu hanyalah pandangan daripada versi pendakwaan.

Jadi, apabila peguam mengemukakan kes tertuduh maka ketika itu satu pandangan lain dikemukakan untuk pemerhatian mahkamah.

Dalam pengemukaan keterangan-keterangan itulah pihak peguam perlu tahu bilakah untuk menyerang dan menangkis bukti-bukti pihak pendakwaan. Ramai peguam yang tidak mahir dalam pengemukaan bukti dan keterangan ini sehinggakan tertuduh itu teraniaya akibat kesilapan peguam.

Kesilapan yang sering peguam lakukan adalah kegagalan untuk mencabar bukti-bukti pendakwa semasa kes pendakwaan. Pada masa itu juga peguam perlu memasukkan elemen-elemen pembelaan dengan bertanyakan soalan-soalan yang konsisten dengan pembelaan yang akan dikemukakan kelak.

Kegagalan peguam berbuat demikian boleh menyebabkan tertuduh disabitkan atas kesalahan kerana jika peguam hanya membuat pembelaan di saat kes pembelaan maka akan dianggap pembelaan itu adalah pembelaan ‘afterthought’.

Pembelaan ‘afterthought’ ini adalah pembelaan yang direka-reka atau dalam bahasa awam adalah seperti sudah ‘ketinggalan keretapi’. Maknanya keretapi sudah bergerak baharulah orang itu terhegeh-hegeh hendak menaiki keretapi tersebut. Akhirnya, orang itu tidak akan sampai ke destinasi kerana sudah ketinggalan keretapi.

Kesulitan ini akan terus berlaku pada masa kes rayuan kerana rayuan itu terhad hanya terhadap bukti-bukti yang telah dibawa semasa perbicaraan peringkat pertama di mahkamah majistret atau mahkamah sesyen. Tiada bukti baharu boleh diterima oleh mahkamah yang mendengar rayuan tersebut.

Justeru, sebelum peguam tersebut membawa sesuatu kes khasnya perbicaraan jenayah maka peguam itu hendaklah mengkaji betul-betul kekuatan kes orang yang kena tuduh itu dan membandingkannya dengan undang-undang yang berkaitan. Hal ini sulit untuk dipelajari di dalam kelas melainkan orang itu sendiri terlibat dengan profesion ini.

Suatu ketika dahulu saya pernah meminta nasihat daripada Dato Haji Sulaiman Abdullah berkaitan cara mengendalikan kes jenayah. Katanya, “Zul, apabila anda didatangi seorang klien maka anda hendaklah membaca kembali seksyen yang dituduh itu. No matter how many times have you read the section, you must read it again. Word by word. Don’t miss anything. Kadang-kala bila kita membaca kembali seksyen tersebut kita akan berjumpa dengan perkara-perkara baharu. Anda harus mengkaji seksyen tersebut dan mengenalpasti setiap elemen pertuduhan.”

Bagi saya nasihat ini sungguh berharga dalam profesion jika seseorang itu menceburi dunia kepeguaman jenayah. Apabila seseorang itu faham apa yang dituduh maka dia akan tahu bagaimana untuk bertanyakan soalan kepada saksi-saksi. Proses bertanyakan soalan inilah yang selalu orang katakan ‘putar-belit’ peguam. Padahal sebenarnya peguam itu hanya menguji kefahaman seseorang saksi terhadap fakta yang dikemukakan itu.

Dengan cara begitu, kita dapat tahu jika saksi itu mereka-reka cerita yang tidak benar. Tiada seorang pun tertuduh yang patut dihukum atas sesuatu kesalahan atas fakta yang direka-reka. Jika ada tertuduh yang disabitkan atas fakta yang direka-reka bermakna beliau telah dihukum secara yang tidak adil.

Kadang-kala ada saksi-saksi yang mereka-reka cerita sama ada beliau tidak ingat fakta atau sengaja membuat cerita untuk memastikan tertuduh itu disabitkan atas pendakwaan yang dibuat. Ini sering terjadi dalam perbicaraan sesuatu kes jenayah dan juga kes sivil. Asalkan menang kes tersebut maka soal moral sudah tidak lagi menjadi perhitungan.

Sewaktu perbicaraan kes khalwat Haji Mohamad Sabu, peguam masa itu adalah Tun Saleh Abas. Antara soalan yang ditanyakan oleh Tun Saleh Abas kepada saksi pendakwaan adalah berkaitan cara penangkapan dibuat. Akhirnya apabila ditanyakan kepada saksi ternyata bahawa saksi gagal untuk memberikan keterangan yang konsisten dengan saksi yang lain.
Akhirnya, Haji Mohamad Sabu telah dibebaskan daripada pendakwaan. Kes ini telah dilaporkan dalam Jurnal Hukum dan sesiapa yang berminat dengan perjalanan kes ini dapat membaca dalam Jurnal Hukum tersebut.

Begitu juga, sewaktu Mufti Perlis, SS Dato’ Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr MAZA) didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur atas kesalahan mengajar tanpa tauliah. Dr MAZA telah dilepaskan daripada pendakwaan kerana apabila ditanyakan kepada saksi, saksi gagal menjawab mengenai apakah yang diajar kerana saksi gagal merakamkan apakah yang diajar oleh Dr MAZA itu. Kesilapannya, JAIS telah membuat tangkapan terlalu awal sehingga gagal mendapatkan bukti yang cukup untuk memenuhi elemen pendakwaan.

Barangkali atas sebab itulah, pihak JAIS telah mengambil iktibar daripada kesilapan itu dan sewaktu YB Khalid Samad didakwa, mereka telah membuat rakaman di luar surau dan telah mengemukakan transkrip ceramah berkaitan perjalanan ke Gaza dan menyatakan bahawa ianya adalah bertentangan dengan Enakmen Pentadbiran apabila YB Khalid Samad membuat ceramah tersebut tanpa tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor. Akhirnya, YB Khalid Samad telah dijatuhi hukuman yang boleh menyebabkan beliau hilang jawatan sebagai seorang Ahli Parlimen.

Namun, di peringkat Mahkamah Tinggi, Hakim telah mengurangkan jumlah denda dan mengekalkan sabitan. Ketika di Mahkamah Rayuan, hakim telah menolak rayuan pendakwaan kerana pihak pendakwaan gagal melepasi syarat bagi mendapatkan kebenaran merayu.

Bayangkan jika tiada peguam, maka bagaimanakah seorang yang tidak biasa dengan proses undang-undang boleh melindungi dirinya. Justeru, sebenarnya peranan peguam adalah penting kerana peguam arif dalam membaca undang-undang dan memberikan perspektif berbeza kepada hakim.

Adalah tidak wajar seseorang itu dihukum atas satu kesalahan yang didakwa sedangkan pihak pendakwaan sendiri gagal mengemukakan bukti-bukti bagi memenuhi elemen kesalahan yang didakwa. Ini tidak bermakna peguam itu pandai putar belit. Peguam hanya menjadi orang tengah bagi orang yang kena tuduh dalam mengemukakan kesnya di mahkamah.

Seringkali juga, apabila seseorang itu dipanggil oleh pihak polis untuk memberikan keterangan terhadap sesuatu kesalahan. Kadang-kala apa yang terjadi pihak polis bukan sahaja mengambil keterangan terhadap kesalahan yang disiasat tetapi juga menjalankan kerja ‘mengail’ maklumat (fishing expedition) untuk mengaitkan suspek itu dengan kesalahan yang tidak berkaitan pun dengan kesalahan yang disiasat.

Oleh itu, sebaiknya jika seseorang itu dipanggil oleh polis untuk memberikan siasatan, orang itu perlu mengupah peguam bagi menemaninya ke bilik siasatan. Peguam akan membantu suspek itu untuk mencatat segala butiran pertanyaan dan kadang-kala membuat bantahan ke atas soalan-soalan yang tidak relevan.

Oleh itu, sebenarnya tanggapan orang ramai bahawa kerja peguam adalah untuk memutar belit adalah tidak tepat sama sekali. Peguam mempunyai etika profesional yang harus dipatuhi ketika menjalankan tugas.

Peguam yang bagus akan mematuhi etika profesional itu untuk mengelakkan dirinya diambil tindakan disiplin oleh badan peguam. Segala tindakan peguam sebenarnya perlu mematuhi undang-undang. Usahlah beranggapan bahawa peguam itu menipu dengan cara putar belit.