Malaysia Dateline

Peguam reformis meninggal dunia

Peguam Syarie Senior, Kamar Ainiah Kamaruzaman yang terlibat aktif membela pimpinan dan aktivis semasa era Reformasi meninggal dunia hari ini.

Peguam reformis yang banyak memberi sumbangan dalam perundangan syariah di negara ini difahamkan menghidap komplikasi diabetis.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan takziah kepada beliau yang dianggap sebagai sahabat seperjuangan.

“Terima berita sedih bahawa sahabat seperjuangan kami, seorang tokoh peguam, dan antara reformis terawal saudari Kamar Ainiah Binti Kamaruzaman telah pergi menyahut panggilan Ilahi.

“Saya doakan keluarganya kuat serta tabah mendepani ujian. Semoga rohnya diberi tempat yang terbaik oleh Yang Maha Esa,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut merakamkan ucapan takziah di atas pemergian balu kepada bekas Setiausaha Agung Pas, Almarhum Ustaz Abu Bakar Hamzah itu.

Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) pula menyifatkan alumni Kolej Tunku Kurshiah itu banyak berusaha menegakkan keadilan melalui bidang undang-undang.

Dalam hal berkaitan, satu majlis bacaan Yaasin dan Tahlil akan diadakan jam 9 malam ini secara dalam talian menerusi aplikasi Google Meet.

Majlis anjuran Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) itu akan dipimpin oleh Ustaz Iz’aan.