Peguam seru polis, DBKL beri kerjasama himpunan #TangkapMO1

Peguam seru polis, DBKL beri kerjasama himpunan #TangkapMO1

 

Pihak polis diminta memberikan kerjasama kepada rakyat untuk berhimpun secara aman pada 27 Ogos ini, kata peguam Faiz Fadzil.

Beliau ketika ditemui Malaysia Dateline di perkarangan Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini berkata, himpunan Tangkap Malaysian Official 1 pada petang Sabtu itu nanti akan berjalan lancar jika undang-undang berkaitan dihormati.

“Kita juga menyeru PDRM (Polis Diraja Malaysia) supaya memastikan himpunan yang berlangsung bebas daripada anasir pihak yang sengaja menimbulkan provokasi,” ujarnya.

Faiz yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah memberitahu kehadirannya dalam pertemuan kumpulan mahasiswa selaku penganjur himpunan itu dengan pihak polis adalah sebagai penasihat undang-undang.

“Mereka (kumpulan mahasiswa) diketuai aktivis, Luqman Nul Haqim Zul Razali dan Anis Syafiqah Md Yusof sebagai jurucakap Gabungan #TangkapMO1 hari ini cuba untuk menyerahkan notis pemberitahuan himpunan seperti mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” jelasnya.

Pada masa sama, Faiz turut menyeru pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi izin untuk peserta himpunan berkumpul di lokasi di bawah seliaan pentadbiran itu.

“Selepas ini, saya difahamkan mahasiswa sebagai penganjur terlibat akan menyelesaikan isu berkaitan kebenaran tempat di bawah pengawasan DBKL,” ujarnya lagi.

Terdahulu, kumpulan mahasiswa terbabit sebagai penganjur himpunan Tangkap Malaysian Official 1 berbincang dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah selama sejam.

TAGS