Malaysia Dateline

Peguam syarie Selangor

Tahniah Tuan Noorazmir Zakaria atas pengisytiharan sebagai Peguam Syarie Selangor. Pagi ini seramai 58 orang peguam syarie telah mendapat sijil amalan masing-masing di Selangor.

Usai diisytiharkan, YA Hakim memberikan nasihat ringkas kepada semua. Antaranya bahawa selaku peguam syarie perlu menjaga profesion dengan baik. Kalau kes mula jam 9 pagi, jangan bagi alasan masih parking kereta, masih on the way, dalam lif dan sebagainya.

Peguam Syarie perlu menjaga kehormatan profesion dan jangan rakus membuka fail sehingga hakim terpaksa tunggu peguam kerana peguam ada di kamar sebelah untuk kes lain.

Peguam Syarie juga hendaklah menjaga kehormatan diri. Kalau datang ke mahkamah bertudung janganlah di luar kelihatan tidak menutup aurat. Janganlah waktu Maghrib masih berada di tempat yang tidak sepatutnya seperti di gelanggang futsal.

Kalau ada sesuatu yang tidak puas hati dengan perjalanan kes mahkamah janganlah terus meluahkannya di laman sesawang atau media sosial.

Peringatan juga diberikan bahawa mahkamah tidak akan teragak-agak untuk membuat aduan kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie di bawah Kaedah 18 sekiranya ada pelanggaran tatatertib peguam syarie di bawah Kaedah 17.

Satu pemerhatian tadi ramai yang memohon untuk diisytiharkan, diterima dan didaftaraikan sebagai peguam syarie di bawah Kaedah 14(1)Kaedah Kaedah Peguam Syarie 2008.

Jika dirujuk Kaedah itu hanya menyebutkan untuk diisytiharkan sahaja tanpa ada keperluan diterima atau didaftaraikan. Entahlah daripada mana sumber yang mengatakan kena diterima dan didaftaraikan ini.

Jika tiada keperluan maka tidaklah perlu membuat perkara bidaah dalam perintah seperti ini. Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.