Malaysia Dateline

Peguam Zahid Hamidi anggap 47 pertuduhan sebagai ‘penindasan berlebihan’

Peguam kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa 47 pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya itu sebagai satu bentuk ‘penindasan berlebihan’.

Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, 68, turut mendakwa pendakwa raya menunjukkan ketidakadilan dengan memilih untuk mendakwa Ahmad Zahid dengan jumlah pertuduhan sebegitu.

Hal itu dimaklumkan pada hujahan akhir perbicaraan membabitkan Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Tegas Hisyam, undang-undang tidak membenarkan perkara itu berlaku malah beliau berkata Ahmad Zahid tidak perlu untuk diadili sekiranya berpandukan kepada tuduhan rasuah dan Akta Pencegahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Dalam hujahannya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Hisyam memberitahu pendakwa raya juga melakukan ketidakadilan prosedur dan melanggar Seksyen 51A (1) (c) Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut Hisyam, lapor Awani, pihak pendakwaan sebenarnya boleh menjumpai banyak bukti yang memihak kepada tertuduh, contohnya:

– Bahawa maklumat yang didedahkan oleh tertuduh memberikan kekebalan kepada tertuduh dari pendakwaan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah sub-seksyen 30 (7) Akta SPRM.

– Bahawa 31 cek berkenaan dengan caj (pengubahan wang haram) adalah dicop dan tidak ditandatangani secara peribadi oleh tertuduh.

– Bahawa penderma yang telah memberikan sumbangan telah mengatakan bahawa sumbangan yang mereka berikan semuanya dimaksudkan untuk tujuan amal atau keagamaan.

– Bahawa saksi atas tuduhan rasuah telah disahkan bahawa tidak ada unsur rasuah.
Menurut Hisyam lagi, pendakwa raya kini cuba menafikan tertuduh untuk mempertahankan imunitinya di bawah Seksyen 30 (7) Akta SPRM.

Sehubungan itu, pasukan pembelaan berpendapat pertuduhan mesti digugurkan kerana terdapat penyalahgunaan proses akibat terlalu banyak pendakwaan dan juga kerana ketidakadilan yang berlaku.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dilihat tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 8.20 pagi tadi dan terus memasuki kompleks mahkamah.

Awani juga melaporkan, prosiding yang berlangsung hari ini turut berhenti rehat beberapa kali, difahamkan bagi memberi rehat kepada Ahmad Zahid yang masih dalam proses pemulihan rawatan tulang belakang.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dengan pasukan pembelaan diketuai Hisyam.

Perbicaraan membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bersambung esok.