Pejabat Agama Daerah Kulim digesa ambil tindakan terhadap YDP Pas Padang Serai

Pejabat Agama Daerah Kulim digesa ambil tindakan terhadap YDP Pas Padang Serai
Ridhwan (tiga dari kanan) menyerahkan laporan kepada Pegawai Pejabat Agama Daerah Kulim.

Ekoran khutbah jumaat minggu lepas yang didakwa memfitnah kerajaan Pakatan Harapan (PH) oleh YDP Pas kawasan Padang Serai, Shaharudin Ibrahim, beberapa anak kariah Masjid Al Muttaqin, Taman Selasih, Kulim telah membuat laporan kepada Pejabat Agama Daerah Kulim.

Rombongan tersebut yang diketuai oleh Ridhwan Razali mendakwa khutbah yang disampaikan oleh Shaharudin pada khutbah keduanya mendakwa tindakan kerajaan PH kini merosakkan orang Melayu dan Islam.

Malah kata Ridhwan lagi, tuduhan yang dibuat oleh YDP Pas kawasan Padang Serai tersebut amat berat dan berunsur fitnah yang begitu ketara.

“Beliau telah menyalahgunakan kedudukan sebagai khatib pada jumaat lepas apabila cuba menyampaikan khutbah yang ekstrim dan berbaur politik.

“Oleh kerana itu sebagai anak kariah masjid tersebut, kami mendesak agar Pejabat Agama Daerah Kulim supaya segera mengambil tindakan terhadap Shaharudin.

“Pejabat Agama Daerah perlu mengkaji semula perjalanan dan aktiviti jawatankuasa kariah masjid tersebut apabila mereka membiarkan khutbah melampau sedemikian, ” jelasnya lagi.

Jelas Ridhwan lagi, Pejabat Agama Daerah Kulim perlu tegas dan mengambil tindakan segera setelah begitu jelas salahguna mimbar masjid yang berlaku pada jumaat yang lalu.

“Ini bukan kali pertama dakwaan yang berunsur fitnah dikeluarkan oleh YDP Pas kawasan Padang Serai.

“Sebelum ini ia pernah mendakwa bahawa kerajaan Pulau Pinang melarang azan dilaungkan di negeri tersebut.

“Sepatutnya beliau menggunakan platform keterbukaan kerajaan PH dengan sebaik mungkin dan lebih demokratik, ” ujarnya.

Namun begitu kata Ridhwan lagi, sikap keterbukaan yang diamalkan oleh kerajaan PH telah disalahgunakan oleh Shaharudin apabila menjadikan ia sebagai lesen untuk politik melampau melalui khutbah di Masjid Al-Muttaqin.

“Sebagai seorang pendidik maka beliau harus menunjukkan contoh dan teladan yang baik untuk dituruti tanpa memperalatkan masjid untuk kepentngan politik.

“Kerajaan Negeri Kedah juga perlu mengkaji semula tauliah yang telah diberikan kepada Shaharudin sebelum ini agar ia tidak disalahgunakan.

“Sejajar dengan itu, kita amat mengharapkan tindakan segera dan pantas dapat diambil oleh kerajaan negeri dan juga Pejabat Agama Daerah Kulim, ” tambah beliau.