Malaysia Dateline

Pejabat JKM Sepang ditutup, mana hati perut?

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin membidas sikap kerajaan Persekutuan yang dilihat menghukum rakyat ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu mempersoal penutupan Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sepang sepanjang fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walhal, kerajaan Persekutuan pada 28 Mac lalu telah melarang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar bantuan secara terus kepada penerima.

Beliau memberi reaksi terhadap pendedahan sukarelawan sebuah NGO di kawasannya, Warish Azlee tentang penutupan pejabat JKM Sepang.

“Orang ini (NGO) sangat aktif mengedarkan bantuan yang diperlukan kepada pengundi kami di Sepang tanpa mengira kaum, agama atau ideologi politik mereka.

“Keputusan baru yang membingungkan oleh kerajaan pintu belakang telah benar-benar menafikan pasukan berdedikasi kami,” tegasnya.

Pada 28 Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, NGO yang ingin menyumbang barangan keperluan atau makanan dinasihatkan supaya menghantarnya ke pusat pengumpulan di pejabat JKM daerah di seluruh negara.

Dalam masa sama, Hanipa turut menyelar penafian pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kononnya tidak berpolitik ketika negara memerangi wabak Covid-19.

“Tidak berpolitik konon, tetapi ini yang berlaku di akar umbi. Kenapa mereka (kerajaan PN) harus menghukum rakyat kita yang tidak bersalah?

“Mana hati perut?” bidas Hanipa yang juga merupakan peguam itu lagi.

Terdahulu, Warish Azlee mendedahkan beliau mengunjungi pejabat JKM Sepang semalam untuk berbincang dari segi kerjasama untuk mengagihkan bantuan.

“Mahu masuk (pejabat JKM Sepang) pun tidak boleh. Ada notis depan pagar masih ditutup sehingga 31 Mac. Jangan tampal notis baru sampai 14 April, sudahlah.

“Arahan menteri mana mahu ikut? JKM sudah bersedia atau belum? Rakyat sudah menunggu bekalan makanan.

“Jaga (pengawal keselamatan) pun kata sudah beberapa orang datang minta bantuan JKM,” keluh Warish Azlee lagi.