Malaysia Dateline

Pejabat MP Temerloh luluskan RM71,000 bantu mangsa banjir

Pejabat Ahli Parlimen Temerloh telah meluluskan peruntukan sebanyak RM71,000 untuk membeli pelbagai keperluan bagi membantu mangsa banjir.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jumlah bantuan itu akan ditambah dari semasa ke semasa megikut situasi.

“Kita juga di peringkat nasional akan memberikan bantuan dan sumbangan. AMANAH Temerloh dan pasukan ARiF akan terus menyantuni kalau boleh semua mangsa banjir.

“InsyaAllah kita akan menunaikan tanggungjawab dan memberi khidmat terbaik kepada penduduk di Temerloh yang berdepan banjir besar ini,” ujarnya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai itu berkata demikian dalam sidang Media Misi Bantuan Kemanusiaan Banjir Parti AMANAH Negara di Temerloh hari ini.

Turut serta Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Wira Hatta Ramli; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan dan Ketua AMANAH Kawasan Temerloh, Azizul Shah Mohd Noor.

Mengulas dakwaan Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir tidak turun meninjau mangsa banjir, Salahuddin berharap agar isu itu dihentikan.

“Ketidakhadiran Anuar Tahir semua orang tahu, beliau telah ditimpa musibah. Kesihatan beliau tidak mengizinkan untuk besama kita dalam tragedi banjir ini.

“Janganlah isu kesihatan ini dimainkan,” tambahnya lagi.

Beliau menegaskan AMANAH mengambil tanggungjawab penuh menggerakkan pasukan ARiF bersama kerjasama AMANAH Kawasan di bawah pimpinan Cikgu Zul serta Woo Chee Wan juga Adun-Adun lain.

Dari kanan: Azizul, Salahuddin dan Woo Chee Wan.