Malaysia Dateline

Pejabat mufti tegaskan haram umat Islam sambut Halloween

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menegaskan bahawa hukum menyambut Halloween bagi umat Islam adalah haram.

Pejabat mufti berkata, ini kerana sambutan itu mempunyai unsur-unsur tasyabbuh yang tidak dibenarkan di dalam Islam.

Halloween merupakan perayaan yang disambut pada 30 Oktober setiap tahun bagi memperingati orang yang telah mati. Halloween juga disebut dengan Hallowe’en dan perayaan ini juga disebut sebagai All Hallow Eve atau All Saints’ Eve.

“Berdasarkan kajian sejarah, didapati bahawa perayaan ini merupakan syiar bagi sebahagian penganut agama Kristian dan mereka menyambutnya demi memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia.

“Fatwa dari islamweb.net mengatakan bahawa merayakan hari Halloween adalah haram kerana asal sambutan ini adalah bersifat penyembahan dan juga dirayakan oleh kaum bukan Islam.

“Ibu-bapa dilarang untuk menghantar anak untuk turut serta dalam perayaan ini,” kata pejabat mufti dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Pada masa sama, ulama juga berpendapat bahawa haram bagi umat Islam menyambut Halloween kerana menyerupai orang kafir.

“Sheikh Dr. Ahmad Sa’id Hawwa ahli Syrian Islamic Council mengatakan bahawa haram bagi umat Islam untuk menyambut hari Halloween.

“Halloween menurut beliau adalah hari yang suci yang di sambut oleh penganut masihi dan umat Islam dilarang untuk mengikuti dalam perayaan mereka,” katanya.