Malaysia Dateline

Pejabat PM sekat Parlimen Muar terima peruntukan tahunan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan beliau tidak disenaraikan untuk menerima peruntukan tahunan sebagai Ahli Parlimen Muar.

“Saya baru mendapat pengesahan bahawa Parlimen Muar tidak disenaraikan untuk menerima peruntukkan tahunan Ahli Parlimen,” katanya dalam satu mesej yang dikongsi oleh Kadir Jasin di facebooknya.

Syed Saddiq berkata beliau sudah menghubungi bahagian ICU untuk sahkan perkara ini dan dimaklumkan bahawa Pejabat Perdana Menteri sendiri yang tidak masukkan Muar dalam senarai.

“Saya ingin mengajukan soalan di sini dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut, kerana masih menghormati Tan Sri Presiden.

“Masa COVID-19 melanda negara, masa ini jugalah orang Muar ditarik bantuannya. Apa salah saya? Kerana saya menyokong Tun M?

“Kerana saya tidak mahu berkerjasama dengan Najib dan Zahid yang dikenali satu dunia sebagai Kleptokrat? soalnya.

Tambahnya, sebelum ini kumpulan Najib mengugut ibu dan ayahnya kemudian tarik sumber pendapatan beliau.

“Sampai Majlis Konvokesyen saya sendiri di UIAM pun terjejas kerana lawan kleptokrat, sampai hilang peluang ibu lihat anaknya naik ke pentas.

“Pelbagai jenis sogokan ditawarkan untuk membeli jiwa supaya saya tikam parti di belakang. Supaya saya buat PC hentam Tun dan Tan Sri.

“Tetapi Saya tetap kekal setia bersama Parti dari mula, sampai akhir.

“Apa salah orang Muar? Apa salah saya? Mohon penjelasan,” soal Syed Saddiq.