Pejabat Tanah Galian Wilayah tidak ‘pilih bulu’ hantar notis perobohan premis haram

Pejabat Tanah Galian Wilayah tidak ‘pilih bulu’ hantar notis perobohan premis haram
Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTGWPKL) menepis dakwaan kononnya mereka ‘memilih bulu’ ketika menghantar notis membabitkan perobohan premis haram.

PPTGWPKL dalam satu kenyatannya semalam menjelaskan, mereka telah menghantar sebanyak 105 notis pendudukan tanpa sah di atas tanah Kerajaan yang terdapat di kawasan Selayang Baru.

“Ianya melibatkan semua struktur dan dihantar secara berperingkat bermula 4 hingga 5 November 2019.

“Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui PPTGWPKL mengambil perhatian terhadap isu pemberian notis perobohan premis haram yang dibina di atas tanah rizab jalan di kawasan Selayang Baru yang dibangkitkan melalui akhbar Sinar Harian bertarikh 5 November 2019.

“Sehubungan itu, dakwaan yang mengatakan bahawa notis diserah hantar secara tidak menyeluruh adalah tidak benar, kerana PPTGWPKL telah menghantar notis-notis tersebut kepada semua gerai dan struktur kekal tanpa memilih bulu sepertimana yang didakwa,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, berhubung dengan isu pemilik bangunan yang mendapat Lesen Pendudukan Sementara yang telah tamat tempoh, PPTGWPKL memaklumkan, pihaknya tidak lagi memberikan kelulusan pembaharuan lesen tersebut berikutan projek pelebaran jalan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bakal dilaksanakan kelak.

“PPTGWPKL turut menghantar notis kepada bangunan tersebut memandangkan sebahagian struktur bangunannya telah termasuk di dalam sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Justeru, PPTGWPKL akan mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara ke atas semua struktur tanpa sah di sepanjang Jalan Selayang Baru bagi memberi laluan kepada kerja-kerja projek pelebaran jalan dan pembangunan Pusat Penyembelihan Ayam oleh DBKL.

“Namun demikian, tempoh diberikan untuk memungkinkan pemilik memindahkan barang-barang kepunyaan mereka,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, pihak PPTGWPKL turut menegaskan bahawa, mereka akan sentiasa memantau kewujudan gerai-gerai dan bangunan tanpa sah, seterusnya bersedia mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas mana-mana pengusaha gerai dan pemilik struktur kekal tanpa sah yang masih enggan berpindah.

“PPTGWPKL juga sentiasa mengalu-alukan sebarang aduan daripada orang ramai demi memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan Rule of Law,” ujar kenyataan itu lagi.

Memetik laporan Sinar Harian Online bertarikh 5 November, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berharap, tindakan tersebut dibuat tanpa ‘memilih bulu’ selepas menerima aduan daripada pelbagai pihak.

Katanya, tindakan tegas perlu dilakukan sekiranya pemilik premis perniagaan haram masih berdegil tidak mahu merobohkan premis perniagaan mereka selepas melepasi tempoh notis yang diberikan.

“Nampaknya PTG bertindak proaktif selepas masalah tersebut dibangkitkan dalam akhbar tetapi kita tidak mahu PTG hanya sekadar mengeluarkan notis.

Rosli berkata, berdasarkan pelan pelebaran jalan yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan, ia akan melibatkan beberapa bangunan yang dimiliki peniaga-peniaga besar yang didapati dibina sehingga 25 meter memasuki ke kawasan tanah Wilayah Persekutuan.

“Saya dimaklumkan pemilik bangunan berkenaan mendapat kebenaran menduduki sementara tetapi sudah tamat tempoh. Mereka juga dikatakan memohon untuk sambungan kebenaran menduduki tetapi masih belum diluluskan.

“Apabila projek pelebaran hendak dilakukan di kawasan tersebut, saya pasti permohonan itu tidak akan diluluskan.

“Sebab itu saya mohon kepada PTG agar tidak ‘pilih bulu’ dan hantar notis perobohan premis kepada semua peniaga besar dan kecil di kawasan tersebut, tambah pula ada peniaga yang bina bangunan kekal tanpa kelulusan PBT (pihak berkuasa tempatan),” katanya.