Pejabat TPM perjelas ucapan Wan Azizah berkaitan EM-IGG tanpa kebenaran

Pejabat TPM perjelas ucapan  Wan Azizah berkaitan EM-IGG tanpa kebenaran
Datuk Mohd Rashid Hasnon ketika menyampaikan ucapan perasmian projek EM-IIG di Subang hari ini.

Laporan berita yang memetik ucapan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkaitan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi “Enhanced Malaysia International Internet Gateway” (EM-IIG) yang dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd adalah tidak benar.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini berkata, teks ucapan yang dibaca di pelancaran projek itu tidak pernah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri ataupun Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

“Timbalan Perdana Menteri juga tidak mewakilkan kepada sesiapa untuk membaca teks ucapan beliau pada majlis tersebut.

“Datuk Seri Dr. Wan Azizah tidak pernah sama sekali berkata bahawa kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada pelaksanaan projek EM-IIG,” ujarnya kenyataan itu.

Ini susulan  pada majlis pra-pelancaran projek EM-IIG di Subang hari ini, ucapan yang dikatakan oleh Dr Wan Azizah yang dibacakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menyatakan Malaysia bakal memiliki platform infrastruktur generasi kelima (5G) pertama di Asia Tenggara, yang menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi paling murah dan terpantas menerusi projek jalur lebar berkelajuan tinggi EM-IIG.

Projek yang membabitkan pemasangan kabel dasar laut dan daratan bernilai RM5.45 bilion di Malaysia menggunakan kabel gentian optik berkapasiti 150 terabait (TB) itu dikendalikan oleh Xiddig Cellular Communications dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.

Sehubungan itu, menurut kenyataan, mana-mana pihak yuang Menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran beliau, adalah perkara yang serius.

“Amaran diberikan kepada semua organisasi supaya tidak menggunakan atau mengedarkan bahan seperti teks ucapan yang menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran.

“Tindakan tegas akan diambil jika situasi seperti ini berulang.” ujarnya.