Malaysia Dateline

Pejuang desak Hamzah luluskan pendaftaran parti, usah menyibuk urusan PDRM

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin diingatkan agar melaksanakan tugas statutori yang diperuntukkan dalam undang-undang iaitu untuk meluluskan pendaftaran parti politik.

Ketua Penerangan Pejuang Muda Malaysia (Penaja), Akif Rusli berkata, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu tidak harus mencampuri urus tadbir Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali gus merencatkan gerak kerja pasukan itu dalam menangani kadar lonjakan kes-kes jenayah.

“Beliau (Hamzah) perlu berhenti daripada menyibuk dalam urusan pentadbiran PDRM. Tumpukan lebih kepada tugasan hakiki dan statutori yang berada di bawah bidang kuasa beliau.

“Kami percaya bahawa tindakan Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini adalah lebih bermotifkan politik semata-mata kerana menangguhkan urusan pertukaran jawatan pegawai kanan polis tanpa sebarang alasan yang munasabah yang dibenarkan undang-undang termasuk sengaja melengahkan kelulusan pendaftaran Pejuang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini sambil menyifatkan Hamzah lebih gemar berpolitik berbanding berkhidmat demi kepentingan tanah air kerana terlampau sibuk untuk membuat percaturan politik hatta dalam urusan pentadbiran PDRM.

Akif Rusli

Untuk rekod, Hamzah pada 2 Februari lalu berkata, permohonan pendaftaran Pejuang dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ditolak ekoran gagal mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Dakwa Hamzah, intipati dalam perlembagaan kedua-dua parti tersebut tidak teratur serta tidak spesifik selain terdapat pertindihan membabitkan Jawatankuasa Pusat dan Majlis Tertinggi Pusat Pejuang serta takrifan nama parti tersebut.

“Kami (Pejuang) berpandangan ada baik kiranya beliau (Hamzah) lebih menumpukan urusan pentadbiran dalam hal kerajaan tanpa mengganggu keberlangsungan pihak PDRM dalam menjalankan kewajipan kepada tanah air.

“Isu dalaman PDRM perlu dibiarkan ianya ditangani oleh Ketua Polis Negara (KPN) semasa yang lebih memahami selok-belok pentadbiran anggota tanpa wujud sebarang campur tangan politik termasuk penelitian isu disiplin serta standard dan salah laku anggota PDRM itu sendiri.

“Tindak-tanduk beliau (Hamzah) wajar disifatkan sebagai orang yang tidak menghormati keluhuran undang-undang apabila beliau tanpa segan silu melakukan cubaan rampasan “Command and Control of PDRM” daripada pimpinan KPN,” dakwa Akif.

Sehubungan itu, beliau menambah pihaknya turut yakin bahawa kesatuan suara Pejuang Muda di segenap pelosok tanah air sentiasa bersedia untuk menyahut semboyan tanpa teragak-agak secara konsisten akan menentang sebarang salah laku mahupun apa-apa bentuk campur tangan politik yang tidak menghormati undang-undang.