Malaysia Dateline

Pejuang dilema mahu sokong atau tidak Belanjawan 2021

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sengaja menggunakan titah Yang di-Pertuan Agong sebagai satu cek kosong untuk memasukkan beberapa aspek keuntungan politik dalam pembentangan Belanjawan 2021.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama tiga lagi ahlinya, Pejuang berada di dalam dilema apabila diminta untuk menyatakan pendirian terhadap belanjawan tersebut.

Katanya, jika Pejuang memberi sokongan, mereka seolah-olah mengabaikan kepentingan awam kerana belanjawan itu disifatkan populis tanpa mengambil kira kepentingan rakyat dan hala tuju ekonomi negara .

“Untuk tidak menyokong, kami akan dituduh bermain politik ketika keadaan negara terdesak akibat daripada wabak Covid-19, dan kami akan dituduh tidak taat kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

“Amatlah malang apabila kerajaan kelihatannya tidak ikhlas terhadap sikap prihatin Yang di-Pertuan Agong yang bimbang jika belanjawan tidak lulus kerana negara akan menghadapi masalah kecairan untuk mentadbir.

“Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh kerajaan ialah mengguna titah Yang di-Pertuan Agong sebagai satu “blank cheque” untuk memasukkan beberapa aspek ke dalam belanjawan itu yang menjurus kepada keuntungan politik dan mengenepikan kepentingan awam,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Mahathir; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddun Md Salleh.

Sementara itu, kata Pejuang, peruntukan yang begitu besar kepada agensi propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) salah satu simptom yang jelas meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat

Kerana itu katanya, Pejuang melihat belanjawan yang dibentang sebagai tidak menghayati semangat titah Yang di-Pertuan Agong yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik.