Malaysia Dateline

Pejuang gesa kerajaan kaji kenaikan harga besi, bahan binaan

Biro Kepenggunaan Pejuang menyeru agar kajian terperinci dijalankan di bawah Akta Kawalan Harga berhubung isu kenaikan harga barang binaan mentah yang naik secara mendadak bermula sejak April lalu.

Ketuanya, Afiqah Mohammad berkata, kontraktor kecil amat terkesan dengan kenaikan itu kerana jumlah kuantiti yang dibeli mempengaruhi harga jualan.

“Tidak mustahil kontraktor Bumiputera terpaksa menggulung tikar sekiranya kerajaan tidak campur tangan dalam isu kenaikan harga bahan binaan mentah.

“Satu penyelesaian bersifat menyeluruh perlu dilaksanakan dengan mempertimbangkan penyelesaian jangka panjang.

“Lembaga Pembangunan lndustri Pembinaan (CIDB) perlu mengkaji langkah-langkah bagi menangani kesan dan impak kenaikan harga besi dan lain-lain bahan asas binaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil tindakan pantas agar kebajikan rakyat terpelihara.