Malaysia Dateline

Pejuang harap blok kerajaan juga henti bermain politik

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad berharap ahli politik blok kerajaan juga akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung tidak bermain politik.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, partinya mengalu-alukan keputusan Seri Paduka Baginda bersama-sama Raja-Raja Melayu untuk tidak mengisytihar darurat seperti yang dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Rakyat tentu gembira dengan keputusan yang dibuat oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

“Pejuang juga sambut baik nasihat Yang Maha Mulia Duli Tuanku supaya orang politik kurangkan politik. Sudah tentu ini tidak terhad keapada ahli politik pembangkang sahaja, tetapi termasuklah ahli politik kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mahathir yang juga bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap ahli politik kerajaan dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga berhenti bermain politik ketika ahli politik pembangkang menghormati nasihat Agong.

Mahathir mengingatkan kerajaan untuk tidak melucutkan jawatan orang politik yang tidak menyokong kerajaan, tidak memberhentikan peruntukan wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan serta tidak membeli penyokong parti lawan untuk menjatuhkan kerajaan parti lawan.

Bekas Perdana Menteri dua kali berkenaan juga berharap kerajaan berhenti daripada memaksa pilihan raya diadakan kerana percubaan merebut kerajaan, menolak pendaftaran parti politik seperti Pejuang dan pelbagai tindakan politik termasuk sogokan wang dalam pilihan raya.

“Pejuang tetap akan patuh kepada nasihat DYMM YDP Agong, supaya politik di Malaysia menjadi stabil.

“Pejuang sanggup bekerjasama dalam usaha semua pihak menangani ancaman Wabak Covid-19,” tegas pemimpin Pejuang yang belum didaftar itu.

“Saya ingin menyatakan kesyukuran kami dan junjung kasih kami kepada Kebawah Duli Tuanku YDPA yang telah mengutamakan kepentingan rakyat dengan membuat keputusan yang bijak terhadap cadangan mengisytihar darurat di negara tercinta ini,” tambah Mahathir lagi.

Barisan Ahli Parlimen dari parti Pejuang yang menolak kerajaan Perikatan Nasional.