Malaysia Dateline

Pejuang juga bantah hanya 80 MP dalam Dewan Rakyat

Ahli-ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) membantah keputusan yang membenarkan hanya 80 ahli Dewan Rakyat sahaja boleh berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Menerusi kenyataan bersama, Pejuang berkata, wakil rakyat bebas dari parti itu sama sekali tidak dijemput untuk membincangkan berhubung cadangan tersebut.

Malah katanya, alasan untuk membendung wabak Covid-19 juga dilihat tidak berasas kerana ianya bukan kali pertama Dewan Rakyat bersidang sewaktu tempoh pandemik.

“Persidangan secara digital boleh menjadi alternatif yang sesuai bagi memastikan persidangan dapat dijalankan dengan sempurna tanpa menghadkan keterlibatan ahli-ahli Parlimen dalam perbahasan.

“Pada waktu rakyat disuruh bekerja secara atas talian, namun kerajaan sendiri mengambil jalan mudah dan keterbelakang.

“Keputusan menghadkan kehadiran ahli-ahli dewan ini juga tidak dibincangkan bersama dengan wakil dari pihak Bebas (Pejuang). Wakil dari pihak kami tidak pernah dijemput untuk membincangkan perkara ini,” tegasnya.

Kenyataan itu dibuat bersama antara ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad; ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; dan ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Salleh.

Dalam pada itu, Pejuang menegaskan bahawa ahli Parlimen adalah wakil sah yang dipilih oleh rakyat bagi menyuarakan dan memperjuangkan kepentingan rakyat dalam Parlimen.

Justeru katanya, keterlibatan penuh ahli Parlimen dalam sesi Belanjawan 2021 adalah cukup penting bagi memastikan belanjawan negara dapat diperhalusi mengikut keperluan rakyat tanpa ruang salah guna dan penyelewengan.