Malaysia Dateline

Pejuang mahu bertanding mungkin sampai 120 kerusi Parlimen

Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyasarkan untuk bertanding hingga 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kenyataan pengerusi parti yang secara rasminya telah didaftarkan sebagai parti politik pada 8 Julai lalu itu muncul ketika hanya berbaki tempoh 21 bulan sebelum terbubarnya Parlimen.

“Kita mahu bertanding banyak kerusi, mungkin sampai 120 kerusi (Parlimen),” kata bekas Perdana Menteri dua kali itu kepada The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga menjangkakan mana-mana gabungan politik sukar untuk memperoleh majoriti sepenuhnya memandangkan pertembungan lebih daripada satu penjuru pada PRU-15.

Dalam masa sama, Mahathir menegaskan pemimpin Pejuang berbeza dengan parti lain kerana tidak mempunyai sejarah terjebak dalam jenayah rasuah.

“Sebilangan besar ahli kami adalah wajah baharu, muda dan tidak mempunyai rekod prestasi yang buruk,” jelasnya lagi.

Sehingga peletakan jawatannya tahun lalu, Mahathir merupakan Perdana Menteri Malaysia yang tertua dan ketua negara atau kerajaan tertua di dunia.

Pejuang pada masa ini hanya mempunyai empat Ahli Parlimen yang asalnya daripada Bersatu.

Selain Mahathir, tiga lagi wakil rakyat Pejuang ialah anaknya sendiri, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).