Malaysia Dateline

Pejuang mahu tahu bentuk grand coalition

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu terlebih dahulu mengetahui bentuk grand coalition atau gabungan besar sebelum menyertai blok pembangkang itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden penajanya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti tersebut bagaimanapun terbukti bersama Pakatan Harapan (PH) pada undian menolak Belanjawan 2021.

Grand coalition dalam bentuk apa? Itu yang kita mahu tahu terlebih dahulu. Sekarang ini kita tidak menyertai PH dan kita menganggap Pejuang sebagai blok ketiga.

“Pejuang tidak bersama PH dan jauh sama sekali dari PN. Tapi dalam undian seperti yang terbukti dalam Dewan Rakyat, kita sentiasa bersama PH,” katanya.

Bekas Menteri Besar Kedah itu juga menegaskan pendirian Pejuang yang menolak untuk bersama-sama dengan Ahli Parlimen yang mempunyai kes pendakwaan jenayah di mahkamah.

“Kita ingin tahu, adakah grand coalition melibatkan ‘kluster mahkamah’? Kalau ada puak-puak itu, kita tidak akan bersama.

“Setakat ini, rakan-rakan PH pun tidak mahu mendekati golongan itu dan ini satu berita baik bagi kita,” kata anak Tun Dr Mahathir Mohamad tersebut.

Beliau berkata demikian dalam Dialog Pembangkang Siri 2 bertajuk “Solidariti Pembangkang: Realiti Menuju PRU-15” di Astro Awani malam tadi.

Agihan kerusiĀ 

Mengulas lanjut soalan moderator berkenaan syarat Pejuang untuk menyertai grand coalition, Mukhriz berkata, perkara seperti rundingan kerusi dan jentera pilihan raya boleh dibincangkan secara bersama.

“Kita boleh bincang apa bentuk kerjasama yang boleh kita pupuk menjelang PRU-15, contohnya dari segi agihan kerusi dan saling membantu dalam pilihan raya,” ujarnya.

Dalam masa sama, hal berkaitan manifesto dan penekanan bersama sekiranya pembangkang diberi mandat oleh rakyat, jelasnya, akan dibincangkan oleh Pejuang terlebih dahulu.

Mukhriz bagaimanapun berpendapat pemilihan Perdana Menteri seharusnya mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Jerlun itu memberi jawapan sedemikian selepas diasak dengan soalan berkenaan penyertaan Pejuang dalam gabungan besar pembangkang jika blok itu tanpa ‘kluster mahkamah’ dan pencalonan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Itu satu perkara yang termaktub dalam Perlembagaan yang perlu kita patuhi,” tambah Mukhriz lagi.

Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden Bersatu tersebut mendakwa terdapat setidak-tidaknya ada 18 Ahli Parlimen di luar PH yang terdiri daripada Pejuang, Warisan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pembangkang terdiri daripada 108 Ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021 dengan 92 daripadanya adalah dari PH.